Jangan hantar hadiah lagi, beri pada rumah anak yatim, kata Siti Hasmah

Siti Hasmah mengingatkan rakyat bahawa kerajaan baru tidak membenarkan Dr Mahathir dan dirinya menerima sebarang bentuk hadiah. (Gambar Youtube)

PETALING JAYA: Isteri perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali meminta orang ramai tidak menghantar hadiah kepada suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan dirinya.

Siti Hasmah berpesan melalui anak perempuannya, Marina Mahathir, yang berkata ibunya meminta orang ramai yang berhasrat untuk memberikan hadiah supaya menyumbang kepada rumah anak yatim dan bukan kepada suami dan dirinya.

Siti Hasmah mengingatkan rakyat bahawa kerajaan baru tidak membenarkan Dr Mahathir dan dirinya menerima sebarang bentuk hadiah.

“Menjadi polisi kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak membenarkan ahli politiknya menerima sebarang bentuk hadiah seperti bunga, makanan dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siti Hasmah berharap orang ramai memahami permintaan ini walaupun Aidilfitri bakal menjelang tidak lama lagi.

“Hadiah-hadiah berkenaan akan memakan ruang yang banyak,” katanya.

Siti Hasmah juga berkata mereka akan terus mendiami kediaman keluarga di Seri Kembangan, Selangor dan tidak berpindah ke kediaman rasmi perdana menteri di Putrajaya.