Cerai 15 minit selepas kahwin ekoran didesak bayar baki hantaran

Seorang lekaki mengambil keputusan menceraikan isteri yang baru 15 minit dikahwini selepas merasa “dihina” oleh bapa mertua yang mendesaknya membayar segera baki wang hantaran.

Pada mulanya lelaki itu bersetuju membayar wang hantaran berjumlah 100,000 dirham (RM108,000) untuk perkahwinan mereka di Dubai, namun bapa pengantin perempuan itu tidak sabar mendapatkan wang tunai tersebut.

Majlis yang disertai ahli keluarga dan rakan-rakan yang mengiringi pasangan itu ke pejabat hakim syariah untuk menyaksikan kontrak perkahwinan ditandatangani.

Sejurus selepas itu, pengantin lelaki menyerahkan 50,000 dirham (RM54,000) di lokasi perkahwinan seperti yang dipersetujui.

Walaupun berjanji untuk membayar baki wang hantaran selepas meninggalkan bangunan mahkamah, bapa pengantin perempuan pula hilang sabar dan terus mendesak sebaik sahaja selesai menandatangan.

Kata lelaki itu, ia hanya mengambil masa 5 minit untuknya berjalan ke kereta di mana dia menyimpan baki wang hantaran kepada keluarga pengantin perempuan itu.

Tetapi bapa mertuanya memaksa lelaki itu sama ada membayar segera atau menghantar rakan atau saudara ke kereta untuk mengambil wang sementara dia tunggu di dalam bangunan mahkamah.

Ekoran desakan dan tekanan yang ditunjukkan oleh bapa mertuanya, pengantin lelaki yang berasa “dihina dan ditindas” mengambil keputusan membatalkan perkahwinan dengan segera, petik kenyataan peguam yang mengendalikan kes itu kepada Gulf News.

“Dia enggan memiliki anak perempuan lelaki itu sebagai isterinya lagi dan menceraikannya dalam masa kurang 15 minit menandatangani kontrak perkahwinan,” katanya.

Biarpun bercerai dalam masa hanya 15 minit kelihatan agak melampau, tetapi ia bukanlah perkahwinan terpendek dalam sejarah Arab Saudi.

Pada 2012, pengantin lelaki memilih untuk bercerai beberapa saat selepas berkahwin sebaik pengantin perempuan menyampaikan hasratnya untuk terus bekerja.