
PUTRAJAYA: Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy diingatkan hari ini beliau masih merupakan pekerja syarikat itu dan satu-satunya pekerja dalam sayap pelaburan strategik milik Kementerian Kewangan.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberi peringatan itu susulan respons Arul Kanda terhadap kritikannya dan berkata: “1MDB kini dimiliki sepenuhnya Kementerian Kewangan.”
Lim ketika ditanya sama ada beliau akan memecat Arul Kanda atas kenyataannya, berkata beliau akan mengambil tindakan dari semasa ke semasa dan memaklumkan perkembangan terbaru kepada orang ramai.
Terdahulu, Arul Kanda dilaporkan berkata, beliau sedang mendapatkan nasihat guaman selepas Lim menggelarnya “tidak jujur” susulan pertemuan mereka semalam.
Lim berkata, Arul berhak menyamannya, jika itu yang beliau mahu.
“Arul Kanda memberi banyak janji, jadi jika dia mahu saman, kita akan tunggu dia. Saya tidak tahu sama ada dia akan berbuat demikian, tetapi dia bebas berbuat demikian.”
Semalam, Lim memberitahu wartawan yang Arul Kanda mengaku tidak tahu perkara berkaitan pelaburan 1MDB dan mendakwa Arul Kanda mengelakkan soalan berkaitan dakwaan Kementerian kewangan pernah menyelamatkan syarikat bermasalah itu.
Arul Kanda dalam respons berkata, komen Lim tidak adil kerana beliau sudah memberi kerjasama penuh dan menjawab soalan dikemukakan kepadanya berdasarkan ingatannya kerana tidak membawa dokumen sokongan bersamanya.