JPJ ada 1,000 jawatan kosong, sedia terima kakitangan SPAD

PUTRAJAYA: Sebanyak 800 kakitangan tetap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan diserapkan ke dalam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, susulan pengumuman pembubaran agensi itu.

Beliau memberi jaminan semua kakitangan SPAD itu tidak akan diberhentikan dan akan mengisi 1,000 kerja kosong di JPJ.

“Kakitangan SPAD tidak perlu risau, mereka tidak akan disingkirkan atau diberhentikan.

“Kebetulan ada 1,000 kerja kosong di JPJ,” katanya.

Menurutnya, jawatan itu akan diutamakan kepada bekas kakitangan SPAD.

Pembubaran SPAD diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana pertindihan tugas.

Susulan itu, bekas pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar dan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri menyatakan simpati atas masa depan kakitangan SPAD yang hilang kerja, ketika rakyat sedang menjalani ibadah puasa dan menanti sambutan Aidilfitri.

SPAD ditugaskan merancang, menyelia dan menguatkuasakan semua perkara berkaitan pengangkutan awam darat di Malaysia Barat, dibawah Akta Pengangkutan Awam Darat yang diperkenalkan Datuk Seri Najib Razak pada 2010.

Fungsi SPAD kini dikembalikan kepada Kementerian Pengangkutan.