Shahidan tiada kuasa pecat MB Perlis, kata bekas wakil rakyat

Timbalan Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Perlis, Bahari Taib berkata, Shahidan Kassim tidak memahami perlembagaan Umno.

KANGAR: Majlis Tertinggi Umno perlu membuat keputusan segera berhubung tindakan Umno Perlis yang mencadangkan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dipecat daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Perlis, Datuk Bahari Taib berkata perkara seumpama itu tidak pernah berlaku kerana kuasa memecat keahlian parti bukan terletak pada Pengerusi Umno negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

“Pada pandangan kami, dalam keadaan ini, Shahidan sepatutnya berbincang dan dapatkan pandangan Pusat sebelum membuat apa-apa keputusan…apa yang dilakukan di luar perkembangan Umno.

“Kami juga berpandangan Shahidan tidak faham apa terkandung dalam perlembagaan Umno,” katanya kepada pemberita hari ini.

Bagaimanapun, katanya, Mubarak Perlis menjunjung kasih ke atas Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di atas persetujuan melantik Azlan sebagai menteri besar bagi penggal ke-2 dan akan menyokong penuh kepimpinannya.

Shahidan yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri hari ini mengumumkan cadangan memecat Azlan, yang baru mengangkat sumpah sebagai menteri besar Perlis pagi tadi kerana didakwa tidak mendapat sokongan majoriti, selepas 9 adun BN Perlis menolak pelantikan itu.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata pihaknya tidak dapat mengulas lanjut isu itu memandangkan tindakan pemecatan Azlan itu belum dianggap sah.

“Saya tidak pasti sama ada pengerusi Umno negeri ada hak atau tidak untuk pecat Azlan. Kita tunggu, tengok dulu sah atau tidak pemecatan ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Adun Sena, Asrul Nizan Abd Jalil daripada PKR berkata, kemelut yang melanda BN Perlis akan melemahkan parti itu sendiri dan merugikan mereka.

“Perkara ini juga akan menambah murka Tuanku Raja Perlis kerana mereka dilihat seolah mencabar keputusan baginda melantik Azlan sebagai menteri besar.

“Pada masa ini juga rakyat boleh menilai sendiri Shahidan itu berada di tahap mana sehingga boleh melawan Tuanku.”

Dalam pada itu, orang ramai turut kesal dengan kemelut yang berlaku dan menyifatkan tindakan wakil rakyat terlibat tidak menghormati keputusan Raja Perlis.

Fatin Nabila Mohd Kher, 24, berkata jawatan tidak seharusnya menjadi keutamaan dalam mentadbir kerajaan, sebaliknya mandat diberi rakyat untuk mentadbir tidak boleh diekploitasi untuk kepentingan sendiri.

“Pelantikan Datuk Seri Azlan sebagai menteri besar sudah sesuai jika dibandingkan Datuk Ismail Kassim demi mengelakkan kepimpinan nepotisme,” kata pelajar institusi pengajian tinggi awam itu.

Pekerja swasta, Mohd Syakir Safri, 32, menyifatkan tindakan Shahidan biadab kerana melawan titah Tuanku demi kepentingan politik dan kelangsungan legasi sendiri.

“Tunjukkan kematangan dalam berpolitik kepada rakyat, jangan hanya mementingkan diri sendiri. Datuk Azlan pun ada sumbangan beliau kepada rakyat Perlis,perancangan yang akan diteruskan untuk anak cucu kita.”

Azlan, 60, yang juga adun Bintong, dilantik sebagai menteri besar Perlis bagi penggal ke-2 selepas BN berjaya mempertahankan negeri itu pada pilihan raya umum ke-14 dengan menguasai 10 daripada 15 kerusi negeri, manakala Pakatan Harapan memenagi 3 kerusi dan PAS 2 kerusi.