SPRM masih periksa pejabat Tabung Haji

Dua daripada 3 pegawai polis keluar dari Menara TH, petang tadi.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih meneruskan pemeriksaan ke atas pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) di Jalan Tun Razak.

Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan kehadiran anggotanya di premis berkenaan, namun enggan memberikan butiran lanjut.

“Ada,” katanya ringkas ketika ditanya jika SPRM ada ke bangunan berkenaan.

Wartawan yang menunggu sejak pagi tadi bagaimanapun tidak nampak kelibat penguat kuasa yang hadir dengan baju seragam SPRM.

Sebaliknya, 3 pegawai polis dikesan memasuki Menara TH kira-kira 2.50 petang tadi dan meninggalkan premis berkenaan pada 3.30 petang.

Mereka bagaimanapun enggan mengulas tujuan ke sana, sebaliknya terus memasuki kereta.

SPRM menyerbu 2 rumah dan pejabat bekas pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim dan mengesahkan wang tunai RM500,000 dirampas badan anti-rasuah itu.

“Saya akan berikan kerjasama sebaiknya kepada SPRM dan pihak berkuasa lain supaya siasatan dapat dijalankan dengan baik,” kata ahli Majlis Tertinggi Umno itu semalam.

Sumber SPRM memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Abdul Azeez sahkan serbuan, SPRM rampas RM500,000