Tudung Superman, Batman dan Wonder Woman untuk raya ini

 

Menjelang sambutan Hari Raya, jenama fesyen berlumba-lumba memperkenalkan pelbagai rekaan dan koleksi baharu.

Pastinya golongan wanita menjadi sasaran utama pemain industri fesyen ekoran naluri kaum Hawa yang mementingkan penampilan apatah lagi pada Hari Raya nanti.

Mengambil pendekatan yang sama, syarikat jenama tudung di Malaysia berlumba-lumba memperkenalkan koleksi baru untuk menawan hati pelanggan agar kelihatan lebih anggun dan jelita dengan koleksi tudung masing-masing.

Mengambil langkah setapak ke hadapan, syarikat tudung popular, Fareeda tampil memperkenalkan koleksi tudung “Superhero” (Adiwira).

Berbunyi pelik tetapi itulah inisiatif terbaru syarikat Fareeda yang pasti akan menarik golongan wanita yang dahagakan sesuatu yang baru dan mencabar untuk dicuba.

Pengenalan tudung tersebut dilakukan dengan kolaborasi DC Comics Super Heroes.

Baru-baru ini, Fareeda menerusi akaun Instagramnya memuatnaik 3 rekaan tudung koleksi Superhero tersebut, iaitu Batman, Superman dan Wonder Woman.

Ia menggunakan warna utama yang menjadi identiti “superhero” tersebut iaitu biru bagi Superman dan Wonder Women serta hitam bagi Batman yang turut memaparkan logo bertatah kristal di bahagian tengah hadapan kepala.

Apa yang pasti pemasaran koleksi terbaru itu berjaya menarik perhatian netizen sehingga ramai yang mula bertanyakan harga serta cara pembelian tudung berkenaan.

Menurut Fareeda, buat masa ini, koleksi tersebut boleh didapati di Johor Bahru City Square, Johor Bahru, Johor, bermula 17 Mei hingga 13 Jun 2018.