PAS harap kerajaan PH beri perhatian RUU 355

Ahmad Yakob berkata, jawatankuasa teknikal yang ditubuhkan PAS terus aktif dan bersedia untuk perbahasan RUU 355 di Parlimen nanti. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: PAS berharap kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) akan memberi perhatian terhadap Rang Undang-undang meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob dipetik Sinar Harian berkata, parti itu menubuhkan jawatankuasa teknikal yang akan menyediakan semua maklumat diperlukan untuk perbahasan RUU 355 di Parlimen nanti.

“Jawatankuasa teknikal yang kita tubuhkan ini terus aktif dan harapkan kerajaan PH ini akan beri perhatian sebab ia sudah berada di Parlimen,” katanya kepada akhbar itu.

Perbahasan RUU 355 ditangguhkan sejak tahun lalu, selepas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pertama kali membentangkan usul persendirian itu di Dewan Rakyat pada Mei 2016.

RUU 355 mencadangkan hukuman penjara ke atas pesalah syariah ditambah kepada 30 tahun, denda maksimum RM100,000 dan sebat 100 kali berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

Bulan lalu, Hadi dilaporkan berkata, parti Islam itu tidak berasa tertipu dengan tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak membahaskan RUU 355 pada sidang Dewan Rakyat lalu yang berakhir 5 April lepas.

Beliau percaya RUU 355 tetap akan dibahaskan di Dewan Rakyat, selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Usul ini akan terus berada di situ, Parlimen yang akan datang ini kita boleh sambung lagi, kalau mereka jadi ahli Parlimen dan menang lagi,” kata ahli Parlimen Marang itu.

Pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat 5 April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan hanya usul dibawakan menteri kewangan dibahaskan, walaupun usul Hadi itu diletakkan dalam kedudukan ke-2 aturan urusan mesyuarat hari itu.

Bagaimanapun, PH yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya menumbangkan BN dan membentuk kerajaan persekutuan, dengan memenangi 121 daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

PAS memenangi 18 kerusi Parlimen dan berjaya membentuk kerajaan negeri di Kelantan dan Terengganu.

Hadi: PAS tak rasa tertipu RUU 355 tidak dibahas di Parlimen