Jurujual ditembak 11 kali di depan orang ramai

Gambar Facebook

GEORGE TOWN: Jurujual aksesori telefon selamat selepas ditembak 11 kali oleh seorang penembak bertopeng ski biru di sebuah persimpangan lampu isyarat di Bukit Mertajam siang tadi.

Jurujual berusia 23 tahun itu memberhentikan keretanya di lampu isyarat Jalan Kulim berhampiran Taman Sentosa apabila sebuah kereta berwarna putih tidak dikenali turut berhenti disebelahnya.

Polis berkata seorang lelaki bertopeng ski warna biru keluar dari kereta itu dan melepaskan 11 das tembakan ke arah cermin tingkap sebelah pemandu kereta jurujual tersebut.

Jurujual itu yang bersendirian menyusup ke arah tempat duduk penumpang dan keluar menggunakan pintu sebelah. Pelanggan sebuah kedai kopi berdekatan datang membantu beliau.

Sementara itu, keretanya yang berada pada kedudukan gear “D” terus bergerak dan bergesel dengan sebuah Toyota Hilux sebelum berhenti selepas terhalang oleh konkrit pembahagi jalan.

Penembak terbabit dikatakan melarikan diri dengan keretanya selepas itu. Beliau disifatkan berbadan tegap dan berkulit gelap, dengan ketinggian 170sm (5 kaki 7 inci) dan tatu di lengan kanan.

Mangsa dibawa ke Hospital Bukit Mertajam dan dilaporkan berada dalam keadaan sedar dan stabil.

Polis berkata, peluru tidak mengenai organ utama mangsa. Beliau cedera di lengan kanan bahu kanan, rusuk kanan dan paha kanan.

Polis menemui 11 kelongsong peluru 9mm di tempat kejadian.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A Thaiveegan berkata pasukan khas diketuai Jabatan Siasatan Jenayah negeri akan menyiasat kes itu kerana ia merupakan cubaan bunuh.