28 daripada 71 barangan naik harga di Johor

JOHOR BAHRU: Harga kobis bulat import dari China dan cili hijau tempatan antara 28 jenis barangan yang dikesan meningkat sejak operasi pemantauan harga pasaran dilakukan pihak berkuasa negeri sejak 4 hari lepas.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor, Aris Mamat berkata pihaknya mengesan peningkatan harga antara 4 hingga 50% bagi 28 daripada 71 jenis barangan yang termasuk dalam kategori pemantauan “Price Watch”.

Beliau berkata, hasil tinjauan itu juga berdasarkan pemantauan dilakukan setiap hari di 8 pasar awam utama di setiap daerah di negeri ini.

“Hasil tinjauan, kita dapati antara barangan yang mengalami kenaikan adalah kobis bulat import (dari China) dan cili hijau tempatan.

“Harga kobis bulat meningkat di beberapa lokasi, kepada RM5 sekilogram (naik RM1 daripada harga sebelum ini), manakala cili hijau naik RM1 menjadi RM10 sekilogram.

“Di sesetengah lokasi tertentu, harga kedua-dua barang berkenaan menunjukkan penurunan antara 50 sen hingga RM3, daripada RM4.50 kepada RM4 bagi kobis bulat dan RM13 kepada RM10 sekilogram bagi cili hijau,” katanya selepas menjalankan pemeriksaan di Pasar Awam Larkin, hari ini.

Daripada 71 barangan yang berada di bawah pemantauan, 10 jenis masih mengekalkan harga sama, antaranya daging lembu tempatan, daging kerbau import (India), kelapa parut, santan dan telur ayam.

Selain itu, 33 jenis barangan menunjukkan penurunan harga antara 3.85% hingga 41.67%.

“Harga ayam bersih (standard) di beberapa pasar di negeri ini sebaliknya menurun 40 sen daripada RM8.20 kepada RM7.80 sekilogram,” tambahnya.

Aris berkata memandangkan harga barangan tertakluk kepada pasaran terbuka, beliau mengesyorkan supaya pengguna menjadi “pengguna bijak” seperti membuat kajian sebelum membeli atau menggunakan aplikasi “Price Catcher”.

“Sepanjang 2 minggu lalu, tiada aduan diterima khusus mengenai kenaikan harga barang dan kita akan menjalankan siasatan dengan segera sekiranya menerima aduan mengenai peniaga menaikkan harga pada kadar tidak munasabah untuk kaut keuntungan agar tindakan boleh dibuat,” katanya.

Terdahulu, 68 anggota penguat kuasa KPDNKK Johor Bahru memeriksa 235 premis Pasar Awam Larkin dan 10 tindakan amaran dikeluarkan bagi kesalahan membabitkan tanda harga dan alat timbang sukat.