Malaysia runding dengan China kurangkan kos ECRL

Malaysia mahu mengurangkan kos projek Laluan Kereta Api Pantai Timur.

KUALA LUMPUR: Malaysia sedang berunding dengan China berhubung syarat urus janji pembinaan laluan keretapi bernilai AS$14 bilion (RM55.73 bilion) dan boleh mengurangkan hutang kerajaan sebanyak RM200 bilion dengan membatalkan projek mega, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu temu bual.

Dr Mahathir, 92, yang mengalahkan parti bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang terhimpit skandal, memberi keutamaan kepada langkah mengurangkan hutang kerajaan dan berjanji mengkaji semula projek besar yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini.

Kerja-kerja pembinaan Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion yang merupakan projek terbesar sedemikian di negara ini dan bahagian penting dalam rancangan infrastruktur “Satu Jajaran, Satu Laluan” China bermula tahun lepas.

ECRL dirancang meliputi laluan keretapi sepanjang 688km menghubungkan pelabuhan di pesisir Laut China Selatan di sebelah timur dengan laluan perkapalan strategik Selat Melaka di pantai barat.

“Kita sedang runding semula termanya,” kata Dr Mahathir kepada akhbar kewangan The Edge. “Termanya sangat merugikan ekonomi kita.”

Projek tersebut dibina oleh China Communication Construction Co Ltd dan sebahagian besarnya dibiayai dengan pinjaman daripada Exim Bank China.

Dr Mahathir juga mempersoal keperluan projek itu.

“Dia (Najib) tahu kita tidak mampu buat, misalnya ERCL. Ia tidak bawa manfaat apa-apa dan tidak akan memberi hasil kepada kita,” kata beliau.

Menekankan keperluan mengurangkan jumlah keseluruhan hutang dan liabiliti negara – yang berjumlah kira-kira RM1 trilion menurut kerajaan – Dr Mahathir berkata, “dengan satu langkah kita boleh mengurangkan RM200 bilion hutang dengan membatalkan semua projek mega.”

Dr Mahathir berkata, kerajaan juga sedang menimbangkan cara untuk mengurangkan kos penarikan diri daripada perjanjian pembinaan keretapi kelajuan tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dengan Singapura.

Projek berkenaan menurut anggaran penganalisis bernilai kira-kira AS$17 bilion, kini sedang ditender dan dijadualkan siap pada 2026.

“Terma perjanjian bagi (HSR) menetapkan jika kita membuat keputusan menarik diri daripada projek itu, kita kena bayar banyak,” kata Dr Mahathir.

“Jadi kita perlu cari jalan bagaimana dapat mengurangkan jumlah wang yang perlu dibayar kerana membatalkan perjanjian itu.”