Annuar: Cadangan Kadir kaji institusi raja berbaur hasutan, ugutan

Annuar Musa berkata, Kadir Jasin sepatutnya menghormati penjelasan Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-raja Melayu berhubung siasatan 1MDB, SRC International dan sumbangan RM2.6 bilion.

PETALING JAYA: Tan Sri Annuar Musa mempersoalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) jika ia berhasrat mencabar kuasa dan mengubah peranan sultan melalui reformasi institusi raja serta pindaan Perlembagaan, susulan isu kontrak sosial antara raja dan rakyat yang dibangkitkan Datuk A Kadir Jasin, semalam.

Ketua penerangan Umno itu merujuk cadangan Kadir yang juga ketua media dan komunikasi Majlis Penasihat kerajaan PH, untuk kerajaan menilai semula tindak balas raja terhadap skandal 1MDB dan hal lain melibatkan institusi raja “kerana negara kini ditadbir kerajaan baru” dan kerajaan mungkin dituduh gagal menjalankan tugas, jika institusi raja berperlembagaan tidak dikaji dan difahami.

Annuar menyifatkan kenyataan bekas pengarang itu berbaur hasutan dan ugutan.

Katanya, Kadir sepatutnya menghormati penjelasan Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-raja Melayu berhubung siasatan 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd serta sumbangan RM2.6 bilion yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Kenyataan Datuk Kadir Jasin satu isyarat dan amaran kepada raja-raja Melayu apabila beliau secara terang-terangan membangkitkan isu kontrak sosial antara raja dan rakyat! Lebih tepat lagi iannya berbaur hasutan.

“Apakah ini satu isyarat bahawa pentadbiran baru sedang bergerak ke arah reformasi institusi raja dan cuba meminda Perlembagaan seperti dilakukan pada awal 90-an yang mengheret kita semua dalam pertembungan raja dan rakyat?

“Dari tulisan ketua media dan komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan PH ini, ia sangat jelas sekali bagi saya bersifat ugutan dan hasutan,” katanya dalam catatan di Facebooknya hari ini.

Semalam, Sinar Harian memetik Kadir menyarankan kerajaan PH menilai semula tindak balas raja Melayu, susulan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shukri Abdull pada 22 Mei lalu yang mendakwa agensi itu hampa dengan tindak balas dalam Majlis Raja-raja berkaitan isu 1MDB.

Selasa lalu, Shukri mendedahkan SPRM pernah menemui Majlis Raja-raja sebanyak 2 kali pada 2015 untuk memaklumkan RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak, selain menggesa beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) ketika itu menggantikan Najib bagi menyelamatkan keadaan.

Kadir juga dilaporkan berkata, kerajaan pimpinan Tun Dr Mahthir Mohamad juga perlu mengambil tahu pembabitan istana dalam kegiatan tidak rasmi seperti perniagaan dan sosial, dalam usaha “mempertahankan hak rakyat jelata dan melindungi institusi negara” daripada sebarang bentuk pencabulan.

“Kalau perlu, kita kaji semula Perlembagaan dan kontrak sosial bagi mengambil kira suasana dan realiti yang ada pada hari ini bagi mengharmonikan perjanjian antara raja dan rakyat jelata,” katanya semalam.

PH perlu kaji institusi Raja-raja selepas SPRM mengadu ‘hampa’, kata Kadir Jasin

Jumpa raja, disogok wakil rakyat Kedah, Shukri dedah tekanan kes 1MDB