Laporan: Dr M berkuasa, tetapi Malaysia, China saling memerlukan

PETALING JAYA: Malaysia dan China menyedari nilai hubungan dua hala dan tidak akan mengambil tindakan yang boleh menjejaskannya, kata lidah pengarang South China Morning Post (SCMP), hari ini.

Menurutnya, kerjasama tetap terjalin walaupun isyarat bercanggah daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan kebimbangannya terhadap projek pembangunan China yang boleh menjejaskan kedaulatan Malaysia.

“Dr Mahathir dikenali sebagai pro-Asia dan semasa menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003, beliau menjalin hubungan baik dengan China. Beijing dan pelabur China tidak perlu terlalu bimbang; nilai hubungan itu difahami kedua-dua pihak,” kata lidah pengarah akhbar itu.

Katanya, Malaysia memerlukan pelaburan dan kepakaran infrastruktur China untuk pembangunan yang merupakan bahagian penting dalam Inisiatif Belt dan Road.

Pada masa sama, akhbar itu memberi amaran kepada syarikat China supaya kurang agresif dalam urusan pernigaan luar negara.

Forest City, pembangunan mewah di Johor, ialah satu daripada projek di bawah penelitian kerana majoriti rakyat Malaysia tidak mampu membelinya dan ia menyasarkan pembeli Cina asing.

Dr Mahathir menyifatkan projek perumahan 14km persegi itu sebagai “kawasan asing”.

Lidah pengarang itu juga mengingatkan syarikat China perlu menyedari budaya dan sensitiviti tempatan ketika beroperasi di negara lain kerana isu perkauman adalah perkara sensitif di Malaysia.

Menjelang pilihan raya 9 Mei lalu, Dr Mahathir dilaporkan berkata, pelaburan China dialu-alukan jika syarikat itu menjalankan operasi di Malaysia dengan mengambil penduduk tempatan serta membawa modal dan teknologi ke negara ini.

Bagaimanapun, katanya, sekarang keadaan tidak sama dan beliau mahu mengkaji semula beberapa pelaburan China di negara ini.

Malaysia juga sedang mengkaji semula projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai AS$14 bilion (RM55.73 bilion) dengan China.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/05/24/china-sedia-jalin-kerjasama-dengan-kerajaan-baru/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/05/10/dr-m-ikrar-hapus-gst-kaji-pelaburan-china/