Pasport Jepun paling berkuasa, Malaysia masih ‘top 10’

Kalau selama ini Singapura menduduki takhta tertinggi dari segi pasport paling berpengaruh di dunia, kini ia diambil alih oleh pasport negara Jepun.

Menurut Indeks Henley Passport terkini, kedudukan global pasport negara paling berkuasa di dunia mengalami perubahan dengan Jepun menawarkan kemudahan bebas visa atau visa ketibaan (visa on arrival) ke 189 destinasi dunia.

Singapura berada di kedudukan ke-2 bersama-sama Jerman dengan 188 destinasi tanpa permohonan visa terlebih dahulu.

Di tempat ke-3 ialah Korea Selatan, Finland, Perancis, Itali, Sepanyol dan Sweden, manakala Amerika Syarikat dan United Kingdom di tempat ke-4.

Di mana Malaysia?

Malaysia juga masih berada dalam senarai “Top 10” pasport paling berkuasa iaitu di kedudukan ke-9 bersama-sama Slovenia dan Hungary.

Malaysia menerima skor 180 mata yang bermaksud 180 destinasi lawatan tanpa visa terlebih dahulu.

Indeks yang dikumpulkan menerusi kaji selidik melibatkan warganegara global ini turut mendapati kira-kira 40 persetujuan pengecualian visa ditandatangani oleh kerajaan sejak awal tahun ini.

Pada April, Rusia mengumumkan akan menyerap visa bersama-sama tiket untuk semua pelancong sempena Piala Dunia Fifa pada Jun dan Julai ini.

Rusia menduduki tempat ke-47 dalam senarai terbaru daripada kedudukan terdahulu iaitu 45.

Kedudukan terbaik dicapai oleh Arab Saudi yang meningkat 38 tangga sejak 2008 dan kini berada di kedudukan ke-23 dalam indeks pasport paling berkuasa.

Kesemua bacaan indeks ini melibatkan 199 jenis pasport melibatkan 227 destinasi pelancongan di dunia termasuk negara, sempadan, dan negara mikro.

Daripada kedudukan ini, pasport yang paling tidak berpengaruh di dunia pula terdiri daripada negara Sudan (95), Yaman (96), Pakistan (97), Somalia dan Syria (98) serta Afghanistan dan Iraq (100).