Apa makna kualiti yang Rafidah maksudkan, soal Marina

Marina Mahathir. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Aktivis masyarakat Marina Mahathir menggesa Tan Sri Rafidah Aziz menjelaskan takrif kualiti apabila mengulas mengenai penglibatan wanita dalam Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Marina berkata, berdasarkan kelayakan calon-calon wanita dari PH yang menang bertanding dalam pilihan raya lepas, mereka sememangnya layak diberi tempat dalam kerajaan.

“Saya selalu dalam forum bersama Rafidah dan dia nyatakan dia tidak suka kuota tetapi kalau kita lihat data dan sebagainya tidak logik jika tidak berikan wanita tempat sewajarnya,” katanya dalam forum anjuran Sister In Islam (SIS).

Rafidah sebelum ini menjawab kritikan aktivis dan pertubuhan masyarakat terhadap kerajaan baru kerana tidak mengangkat lebih ramai wanita dalam jemaah menteri walaupun menjanjikan sasaran 30% dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan.

Bekas menteri itu menggesa orang ramai tidak tertumpu pada gender tapi merit calon yang dilantik.

Namun Marina mahu Rafidah perlu menjelaskan takrif kualiti itu yang dimaksudkan.

“Selalunya tidak ada sesiapa beri definisi merit. Jika kita lihat, memang ramai wanita yang ada merit, mungkin dengan penglibatan ini akan membawa kepada dasar dan undang-undang diperlukan masyarakat,” katanya.

Bagi Marina, tidak adil jika wanita yang sudah memperolehi kejayaan tidak menyokong kuota untuk wanita.

“Isunya bukan dia sahaja, tetapi wanita lain. Kalau dia seorang sahaja yang berjaya dan lain tidak jadi apa?

“Tidak adil jika wanita berjaya katakan jika saya boleh buat kamu boleh buat kerana bukan semua datang dari tahap yang sama,” katanya.

Beliau turut melihat kepentingan mewujudkan institut latihan politik wanita bagi menggalakkan minat wanita untuk memperjuangkan hak-hak wanita di peringkat Parlimen.

“Latihan institut politik wanita ini perlu diwujudkan. Tujuan kita adalah untuk perbanyakkan ahli politik wanita, tidak kira parti mana.

“Kita akan latih mereka cara-cara untuk berdepan masyarakat, berpidato dan sebagainya. Jika lelaki sahaja layak, mana tahu wanita tidak layak,” katanya.

Wanita dalam Kabinet: Kualiti lebih penting daripada jantina, kata Rafidah