Jangan hadkan wanita kepada kuota 30%, itu maksud saya, kata Rafidah

Rafidah Aziz berkata ada ramai wanita berkelayakan untuk mengisi 50% jawatan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas menteri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, kenyataan beliau meminta rakyat Malaysia memberi tumpuan kepada kualiti, bukannya gender, berhubung kabinet Pakatan Harapan (PH) telah dipetik di luar konteks oleh media.

Malah, kata Rafidah, tidak perlu ada had ke atas bilangan wanita dalam kerajaan.

“Saya tidak terima had penglibatan yang ditentukan oleh kuota.

“Terdapat terlampau ramai wanita Malaysia yang bekelayakan dan kompeten, dan langkah mengehadkan penglibatan mereka kepada kuota 30% atau apa-apa kuota adalah satu penghinaan,” katanya kepada FMT.

Rafidah menjawab kritikan terhadap kerajaan baru PH yang tidak melantik bilangan wanita yang mencukupi dalam Kabinet, walaupun berjanji memenuhi sasaran 30% wanita dalam manifesto pilihan rayanya.

Aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir, mempersoalkan kenyataan Rafidah itu dalam forum yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Sisters in Islam (SIS).

Marina juga berkata, Rafidah, yang merupakan bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, tidak menjelaskan maksud beliau tentang kualiti.

Rafidah berkata, kualiti wanitalah yang sepatutnya menjadi pertimbangan mereka ke dalam Kabinet, bukannya kerana adanya kuota tertentu.

“Mereka tidak harus dipertimbangkan berdasarkan sikap memandang rendah pembuat keputusan.

“Lantiklah seramai mana pun, kerana terdapat terlalu ramai wanita yang berkelayakan.

“Jangan hadkannya kepada kuota 30%,” kata beliau.

“Walaupun jika jumlahnya mencecah 50% jawatan diisi oleh wanita, apa salahnya?

“Apakah kita enggan melantik wanita yang kompeten hanya kerana adanya kuota 30% itu?.”

Beliau berkata negara akan rugi jika penglibatan wanita dipandu hanya oleh kuota 30%.

“Kualiti penting dan kita mempunyai ramai wanita berkelayakan dalam pelbagai disiplin dan bidang untuk mengisi mana-mana jawatan atau kedudukan.

“Ini adalah pendirian saya sejak dahulu lagi,” kata beliau.