PAS berhelah untuk pecahkan Pakatan, kata bekas Ahli Parlimen

Tawfik berkata gesaan PAS helah politik kerana rang undang-undang itu sedang dicabar di mahkamah. (Gambar Youtube)

PETALING JAYA: Anak bekas timbalan perdana menteri Tun Dr Ismail, Tawfik Ismail menuduh PAS merancang memecahkan Pakatan Harapan dengan menggunakan sentimen agama.

Bekas Ahli Parlimen Umno itu berkata, ini jelas daripada gesaan parti itu kepada Amanah supaya menyokong cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah).

Baru-baru ini, Naib Presiden PAS, Datuk Nik Amar Abdullah meminta Ahli Parlimen Amanah memenuhi janji untuk menyokong pembentangan usul persendirian bagi meminda akta tersebut.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, partinya tidak melihat keperluan mendesak untuk membuat ketetapan berhubung rang undang-undang itu.

Tawfik berkata, rang undang-undang itu kini dicabar di mahkamah dan PAS akan dianggap menghina mahkamah sekiranya ia membentangkan usul pindaan itu di Dewan Rakyat.

Justeru katanya, gesaan PAS itu merupakan helah politik.

Tawfik merujuk kepada saman yang difailkan beliau memohon perisytiharan mahkamah rang undang-undang itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan kerana ia membelakangkan persetujuan Majlis Raja-raja.

Atas alasan yang sama beliau bersetuju dengan cadangan Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Mujahid Yusof supaya agensi berkaitan Islam di peringkat persekutuan diletakkan bawah pengurusan Majlis Raja-raja.

“Ia adalah cadangan yang baik untuk mengembalikan kuasa agama kepada raja-raja dan selari dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Naib presiden Amanah itu baru-baru ini dilaporkan berkata, Majlis Raja-raja sepatutnya diberi kuasa untuk menentukan dasar Islam di peringkat pusat. Ini katanya boleh menghalang penyalahgunaan agensi Islam untuk tujuan politik.