Pemangku Raja Pahang terima Anwar menghadap

Gambar Facebook.

KUANTAN: Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini menerima menghadap Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebuah hotel di ibu negara.

Menurut pegawai media Istana Abdulaziz, Abdul Rahim Othman, pertemuan diadakan secara tertutup selama satu jam bermula kira-kira 10.45 pagi dengan turut disertai Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman.

“Pertemuan merupakan kunjungan mesra oleh Anwar sempena bulan Ramadan dan Tengku Abdullah juga mengenalinya semasa menjadi timbalan perdana menteri dahulu,” katanya.

Fauzi berkata kunjungan hormat itu bagi mempersembahkan ucapan penghargaan dan menjunjung kasih Anwar terhadap perkenan Raja-raja Melayu susulan pengampunan diraja membolehkan beliau dibebaskan.

“Pelbagai isu semasa negara dibincangkan dan baginda turut mengharapkan perpaduan rakyat terus diutamakan demi kesejahteraan bukan sahaja negeri Pahang, tetapi negara khasnya,” katanya.

Selasa lepas, Anwar menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, sebaik dibebaskan pada 16 Mei lalu setelah diberikan pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Beliau dibebaskan serta-merta setelah rayuan pengampunan penuhnya yang diputuskan Lembaga Pengampunan mendapat perkenan baginda selepas menjalani hukuman penjara 5 tahun atas sabitan liwat.

Anwar bersama isteri yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Jumaat lalu turut melakukan kunjungan hormat ke Istana Mahkota, Kota Bharu, Kelantan menghadap Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra.

Beliau turut menghadap bonda dan ayahanda Yang di-Pertuan Agong, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dan Sultan Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra.