Pengawal Najib ditarik kerana dia siasat, kata Dr M

KUALA LUMPUR: Kerajaan menarik balik pengawal keselamatan, anggota Unit Tindakan Khas, polis pengiring dan pegawai bantuan Datuk Seri Najib Razak kerana bekas perdana menteri itu dalam siasatan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata Najib akan diberi semula keistimewaan itu jika beliau terbukti tidak bersalah.

“Jika dia didapati tidak bersalah, dia akan dapat kelebihan seperti bekas perdana menteri yang lain,” katanya sewaktu ditemui di Majlis Iftar bersama warga polis di Masjid Bukit Aman hari ini.

Najib di Facebook hari ini memuatnaik gambar beliau mengucapkan selamat tinggal dan membalas tabik hormat mereka yang mengikutnya selama ini.

“Sejak beberapa minggu ini, kesemua pegawai keselamatan, polis pengiring serta pegawai bantuan yang ditugaskan kepada saya sudah ditarik balik oleh kerajaan baharu kecuali seorang pegawai pembantu peribadi (aide de camp),” kata Najib di Facebook.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor layak menerima manfaat tertentu.

“Kita akan kekalkan seperti mana SOP yang ditetapkan, bekas perdana menteri ada kelayakan tertentu, kita akan akur.

“ADC untuk bekas perdana menteri, isteri perdana menteri dikekalkan. Beberapa pengawal peribadi juga akan dikekalkan tetapi jumlahnya dikecilkan. Ada pemandu yang akan dikekalkan untuk Najib,” katanya.