Di ladang kelapa sawit, Jamal Yunos rayu perlindungan Muhyiddin

Jamal merasakan apa yang berlaku pada dirinya sekarang ini seperti mana nasib Anwar di tangan Dr Mahathir. (Gambar Youtube)

AMPANG JAYA: Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos memohon perlindungan dari Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tidak dizalimi.

Jamal dalam rakaman video berdurasi lebih 7 minit berkata, antara sebab beliau gagal tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya kerana bimbangkan keselamatan dirinya.

“Saya bukannya menolak pelaksanaan undang-undang terhadap saya tetapi apabila yang berlaku terhadap saya ini nama saya disenarai hitamkan dan diletak dalam langkah keselamatan khas polis.

“Saya bimbang daripada semalam hinggalah malam tadi rumah saya dipecah, diserbu polis, kediaman ibu saya dan rakan-rakan. Ini yang membimbangkan saya untuk hadir hari ini ke IPD Ampang,” katanya dalam rakaman video di sebuah ladang sawit.

Jamal berkata dirinya seolah-olah diperlakukan seperti seorang pengganas walaupun bukan seorang penjenayah.

“Saya melihat apa yang berlaku kepada saya hari ini seperti mana Tun Dr Mahathir Mohamad menzalimi Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan-rakannya ketika dahulu.

“Saya melihat satu demi satu reman, jamin, reman lagi seolah-olah tidak mahu melepaskan saya, apabila mereka dapat memegang diri saya, maka saya tidak dapat peluang lagi bersama-sama dengan masyarakat di luar sana,” katanya.

Jamal percaya apa dilakukan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya kerana tekanan kerajaan.

“Pemerintah diberikan mandat oleh rakyat menjalankan sistem kuku besi menekan lawan mereka. Saya yakin bukan saya seorang sahaja akan diberikan tindakan begini,” katanya.

Sebelum ini, peguamnya, Datuk Imran Tamrin merayu Jamal supaya hadir ke IPD Ampang Jaya bagi menyelesaikan proses ikat jamin yang diperintahkan terhadapnya.

Imran gagal mengesan Jamal dan berkata pihak polis mempunyai kuasa memberkas Jamal sekiranya menemui tempat persembunyiannya.