Jamal Yunos hilang lagi, kata peguam

Peguamnya, Imran Tamrin berkata polis mempunyai kuasa memberkas Jamal Yunos jika menemui tempat persembunyiannya.

AMPANG JAYA: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos sekali lagi menghilangkan diri walaupun berjanji akan hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya.

Peguamnya, Datuk Imran Tamrin merayu Jamal supaya hadir ke IPD Ampang Jaya bagi menyelesaikan proses ikat jamin yang diperintahkan terhadapnya.

“Pada petang ini kami menanti beliau tetapi sehingga jam 3.30 petang, saya masih tidak dapat apa-apa maklumat daripada anak guam saya dan tidak dapat arahan seterusnya daripada anak guam.

“Kami berharap supaya Jamal dapat menampilkan diri dengan segera dan memberikan kerjasama kepada polis dengan segera supaya semua pihak dapat penjelasan sebenar.

“Dia memaklumkan pihak kami bahawa akan datang segera kalau tidak sempat pada Isnin, hari lain adalah pada Rabu sebab Selasa cuti,” katanya kepada pemberita di IPD Ampang Jaya.

Pemberita mula berkumpul sejak 1.30 petang di IPD Ampang Jaya hingga 4.00 petang masih tidak melihat kelibat Jamal.

Jamal semalam berjanji akan memberi keterangan bagi menyahkan tuduhan mengatakan dia melarikan diri daripada pihak berkuasa.

Imran gagal mengesan Jamal dan berkata pihak polis mempunyai kuasa memberkas Jamal sekiranya menemui tempat persembunyiannya.

“Sebenarnya proses pembebasan ikat jamin Jamal sebelum ini belum selesai dan ini adalah salah faham. Perintah ikat jamin itu sah cuma belum sempurna dari segi dokumentasi.

“Saya tidak boleh kata ikat jamin itu sah atau tidak tetapi proses itu belum sempurna. Polis mahu Jamal tampil segera beri penjelasan dan kerjasama itu sahaja,” katanya.

Jamal sebelum ini menafikan dia melarikan diri dari hospital selepas didakwa atas 3 pertuduhan kerana penahanan remannya memang sepatutnya berakhir pada hari itu.

Beliau juga mendakwa ada pihak tertentu cuba menggunakan pihak berkuasa untuk menzalimi dan membalas dendam kepadanya, susulan tuduhan demi tuduhan terhadapnya termasuk melarikan diri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata polis giat mengesan Jamal dan dibantu pelbagai agensi kerajaan termasuk imigresen.

Jamal berdepan 3 pertuduhan yang dibacakan kepadanya di hospital, iaitu untuk tuduhan melakukan mudarat dengan mempamerkan senjata api berdasarkan gambar tular di media sosial, melakukan mudarat di kawasan awam apabila memecahkan botol arak menggunakan penukul besi sebagai simbolik bantahan terhadap pesta arak, dan yang ketiga dipercayai kerana menceroboh sebuah pusat judi haram di Ampang.

Beliau mengaku tidak bersalah dan mahkamah membenarkan pemimpin Umno itu diikat jamin RM3,000 bagi setiap kes.

Jamal Yunos ke balai polis esok

Jamal Yunos hilang, kata polis