Janusha wanita Malaysia pertama ikuti latihan tentera laut AS

Kemampuan wanita Malaysia semakin terserlah apabila mereka bukan sahaja mengharumkan nama di peringkat negara tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Baru-baru ini seorang wanita muda berusia 19 tahun, Janushaa Bala Krishnan Muthiah menjadi wanita Malaysia pertama dilantik sebagai ahli Akademi Angkatan Laut Amerika Syarikat (USNA).

Untuk pengetahuan anda, hanya terdapat 5 jenis Akademi Perkhidmatan Tentera di Amerika Syarikat dan pemilihan dibuat menggunakan pelbagai kaedah dan syarat ketat.

Janusha ialah pelajar kejuruteraan dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan menjadi salah satu daripada 15 pelajar yang dipilih daripada lebih 157 buah negara.

Dia menerima surat rasmi kemasukan ke akademi tersebut menerusi Duta Besar AS, Kamala Shirin Lakhdhir dalam sebuah majlis yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Clifford Hall di kampung halamannya di Kuala Lipis, Pahang.

Kedutaan AS di Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, pemilihan Janusha dilakukan selepas melalui proses ketat, sambil mengucapkan tahniah di atas kejayaannya itu.

Janusha akan memulakan perjalanan di akademi tentera USNA yang berlokasi di Annapolis, Maryland untuk dilatih sebagai pegawai tentera.

Dalam satu rancangan bual bicara Tamil, Vizhuthugal di saluran Vaanavil Astro, Janusha berkongsi pengalamannya melalui proses pemilihan, perancangan hidup dan aspirasi masa depan.

“Saya bermula dengan menyertai kursus asasi, dari situ saya mohon ke USAFA iaitu Akademi Tentera Udara. Daripada 40 pemohon, ditapis kepada 20 orang mengikut kelayakan akademik. Daripada 10 orang ditapis untuk menyertai latihan fizikal dan mental.

“Namun selepas itu saya diberitahu tiada wakil tempatan wanita untuk permohonan ke USNA, maka saya dan seorang lagi rakan wanita disyorkan ke Akademi itu.

“Dari situ saya dipilih selepas beberapa latihan dan ujian,” katanya mengenang proses permohonan yang dilakukan di sini.

Janusha dijangka terbang ke AS sebelum 18 Jun, untuk menyertai akademi tersebut.

Sebelum ini pada 2017, Ahmad Yusuf Ahmad Azani menjadi graduan Malaysia pertama dari Maktab Tentera Diraja (MTD) yang dipilih menghadiri latihan di USNA.