Najib pertahan HSR, gesa Dr M dedah kajian

Najib mahu kajian berkaitan HSR didedahkan kepada umum. (Gambar Bloomberg)

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak membidas kerajaan sebagai tidak telus berhubung pembatalan projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan menggesa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan kajian berkaitan.

Beliau mengingatkan perdana menteri bahawa projek itu diilhamkan oleh kerajaan Malaysia dan Singapura dan dibuat berdasarkan kajian terperinci oleh kedua-dua negara yang membuktikan wujud manfaat sosial dan ekonomi.

“Adakah pembatalan ini adalah keputusan seorang sahaja? Saya difahamkan menteri pengangkutan membuat kenyataan projek HSR ini tidak pernah dibincangkan dalam Kabinet manakala menteri kewangan enggan memberi ulasan tentang pembatalan projek HSR ini,” katanya di Facebook.

Catatan Najib ini, yang dilarang keluar negara ekoran siasatan pihak berkuasa, merujuk laporan memetik Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook yang berkata jemaah menteri belum membincangkan secara rasmi hala tuju projek HSR, bernilai lebih RM100 bilion.

Anthony berkata demikian selepas Dr Mahathir mengesahkan kerajaan muktamad membatalkan projek itu, perlu bercakap kepada Singapura tentang hasrat pembatalan itu, dan mungkin perlu membayar pampasan RM500 juta.

Dr Mahathir berkata projek itu tidak memberi manfaat kepada negara, tetapi Najib tertanya sama ada agensi terlibat diberi ruang untuk membentangkan kes kepada jemaah menteri dan Majlis Penasihat Kerajaan.

Najib juga menggesa kerajaan mewajarkan pertimbangannya dengan kajian impak ekonomi dan penilaian alam sekitar yang sudah dijalankan.

“Bolehkah kajian ini kini didedahkan kepada umum?” kata Najib.

Menurut Najib, unjuran menunjukkan manfaat ekonomi sehingga RM650 bilion bagi pendapatan negara kasar sehingga 2069 dan 442,000 peluang pekerjaan menjelang tahun itu.

“Untuk lebih telus, laporan ini seharusnya ditunjukkan kepada orang awam,” katanya.

Jalinan kereta api laju antara Kuala Lumpur dan Singapura mula dicadangkan penghujung 1990-an lagi tetapi majlis menandatangani perjanjian 2 hala oleh kedua-dua negara hanya dilakukan pada 2016.

Selepas proses kajian kejuruteraan, pemilihan rekaan, pembinaan dan kontraktor, dan pemerolehan tanah di kedua-dua negara, projek sepanjang 350km ini dibatalkan selepas Pakatan Harapan memenangi pilihan raya 9 Mei lepas.

“Kerajaan seharusnya memberitahu kita bagaimana mereka memperolehi angka RM110 bilion,” kata Najib, mendakwa kos projek itu kira-kira RM72 bilion, termasuk pengambilan tanah, berdasarkan unjuran Jawatankuasa Bersama Malaysia-Singapura awal tahun ini.

“Adakah angka ini juga dinaikkan atas dasar politik sebagaimana dilakukan terhadap angka RM1 trilion bagi ‘hutang negara’?” katanya.

Najib berkata integrasi 2 ekonomi utama di Asia Tenggara melalui projek prasarana ini membawa pulangan dalam bentuk kenaikan nilai hartanah dan kepesatan ekonomi setempat dari Batu Pahat ke Seremban, peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, kemasukan tenaga pakar dari Singapura, pelancongan dan pemindahan teknologi.

“Saya mahu bertanya kepada Dr Mahathir apakah projek-projek Lebuhraya Pan Borneo dan Lebuhraya Central Spine Road yang tiada tol, projek LRT, MRT dan monorel mendapat pulangan dari hasil tiket sahaja? Sudah tentu tidak.

“Zaman kini sudah berubah dan ekonomi hari ini lebih sofistikated dari dulu dan adalah mengecewakan jika perdana menteri gagal melihat pulangan projek ini sebagai pemangkin ekonomi seperti HSR ini di luar skop hasil jualan tiket sahaja.”