Obses wanita Melayu Kelantan terhadap tudung bawal

Gambar bernama

Biarpun terdapat pelbagai jenis hijab dan trend pemakaiannya yang berubah-ubah, namun tudung bawal masih tetap menjadi pilihan kaum wanita termasuk untuk digayakan pada Aidilfitri tahun ini.

Tinjauan di sekitar bandar ini mendapati rata-rata peniaga hijab dan orang ramai yang ditemui yakin tudung yang pernah meraih populariti pada tahun 90-an itu, tetap relevan dan tidak lapuk ditelan zaman dalam dunia hijab tempatan.

Tudung bawal mudah diperoleh sama ada di pusat perniagaan seperti Pasar Siti Khadijah, Pasar Buluh Kubu, Pasar Malam Wakaf Che Yeh, Bazar Tok Guru malah di butik yang banyak terdapat di Kelantan.

Pengurus butik tudung bawal As Galleria by Bawal Exclusive Rabiatu Hasmak Ghani berkata jualan tudung bawal di butiknya berganda pada bulan ini berikutan pelanggan mula membuat pembelian untuk digayakan pada Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

“Jualan tudung bawal sahaja mencecah puluhan ribuan ringgit sehari, membuktikan tudung bawal masih menjadi pilihan dalam kalangan kaum wanita kini,” katanya ketika ditemui Bernama di butiknya di Lembah Sireh, Kota Bharu.

Sementara itu, Pengurus Bawal House, Nur Ain Baharuddin berkata jualan tudung bawal di butiknya juga meningkat hampir 3 kali ganda jika dibandingkan pada bulan biasa, kerana pelanggan mula membuat persiapan untuk digayakan ketika Aidilfitri nanti.

Beliau berkata tudung bawal memang menjadi pilihan dan ‘kegilaan’ orang Kelantan setiap masa.

“Tudung bawal boleh dikatakan dekat di hati orang Kelantan, jika dilihat masih ramai peniaga yang menjual tudung bawal di sekitar negeri ini, secara logik, jika tiada permintaan maka tidak akan ada jualan tudung bawal ini secara meluas,” katanya.

Pemakai tudung bawal Noor Sofea Qistina Abdul Rahman, 27, berkata tudung bawal menjadi pilihannya kerana tudung tersebut adalah satu rekaan yang sangat unggul.

“Bentuk empat seginya mungkin dilihat ringkas, namun ia boleh dipelbagaikan seperti dipendekkan, dilabuhkan, dipusing, dililit kemas sekali gus mencipta varian gaya termasuk turban jika pemakai pandai menggayakannya,” katanya.

Bagi Nur Hanisa Md Safuan, 25, tudung bawal menjadi pilihannya kerana rekaannya mudah dibentuk apabila dipakai dan selesa untuk kegunaan harian dan juga pada waktu perayaan.

“Sekarang pula ia menjadi trend, orang ramai mula memakai tudung bawal berkonsepkan manik tabur, jadi untuk hari raya nanti, trend ini akan dijadikan pilihan untuk saya gayakan,” katanya.

Siti Nor Aida Ariffin, 27, berkata walaupun timbul pelbagai jenis fesyen tudung sekarang, tetapi tudung bawal masih tetap menjadi pilihannya.

“Apa yang membuatkan saya suka menggayakan tudung bawal, ia boleh membuat si pemakai kelihatan runcing dan tirus jika dibandingkan dengan memakai selendang,” katanya.