Sirul tiada hak untuk tawar-menawar, kata Ramkarpal

Ramkarpal berkata Sirul harus ingat dia sudah disabit kesalahan membunuh.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata Sirul Azhar Umar tidak berhak tawar-menawar hukuman terhadapnya dan mesti dipulangkan ke tanah air jika hukuman mati ditukar menjadi pemenjaraan seumur hidup.

Ramkarpal mengingatkan Sirul bahawa dia disabitkan kesalahan membunuh dan beliau menjangkakan hukuman mati akan dimansuhkan “dalam masa terdekat”.

“Dia harus menjalani hukuman dan bekerjasama dengan polis berhubung persoalan siapakah yang mengarahkannya membunuh Altantuya Shaariibuu.

“Mencadangkan dia dibenarkan menetap di Australia dalam keadaan sedemikian adalah mengarut sama sekali. Mengapa pihak berkuasa Australia dengan begitu mudah memberikan dia akses kepada akhbar sehinggakan dia boleh mengadakan sidang media dengan kerap? Adakah begini caranya tahanan dilayan di Australia?”

Ramkarpal berkata sedemikian selepas Sirul tidak mahu pulang ke tanahair sekalipun hukuman mati diubah menjadi penjara seumur hidup.

Sirul dalam satu temubual dengan portal The Guardian berkata Ramkarpal mahu dia menjalani hukuman penjara seumur hidup tetapi dia tidak mahu pulang kerana bimbang akan nyawanya.

Sirul dalam jagaan Australia selepas melarikan diri daripada hukuman mati atas pembunuhan Altantuya 12 tahun lalu.

Sirul memberitahu The Guardian, dia dijadikan “kambing hitam” dalam satu jenayah politik dan dia bukan individu yang menarik picu semasa kejadian itu.

Sirul mahukan pengampunan.

Ramkarpal berkata, “Sirul boleh dibawa pulang ke Malaysia jika hukuman mati digugurkan atau hukuman mati ke atasnya sekarang ditukar kepada penjara seumur hidup.

“Saya yakin salah satu daripada perkara di atas akan berlaku dalam masa terdekat dan saya menggesa pihak berkuasa Australia menghantarnya pulang bagi membolehkan dia menjalani hukumannya di Malaysia dan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam menyiasat siapa yang mengarahkan Altantuya dibunuh.”

Peguam itu berkata keadilan harus ditegakkan dalam kes Altantuya dan Australia harus memainkan peranan dengan menghantar Sirul pulang apabila hukuman matinya diubah atau digugurkan.