Wan Azizah: Undang-undang akan dikaji bagi laksanakan KWSP suri rumah

Datin Seri Dr Wan Azizah berkata, ada peruntukan perundangan tidak benarkan pelepasan ini, jadi pihaknya mahu buat perincian agar ia boleh dilaksanakan secepat mungkin.

KULIM: Kerajaan Pakatan Harapan akan membuat kajian terperinci untuk mengkaji beberapa peruntukan dan akta sedia ada bagi mempercepatkan pelaksanaan Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada suri rumah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pihaknya mengadakan perbincangan dengan pengurusan tertinggi KWSP dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi membuat perincian bagaimana skim itu dapat dilaksanakan.

“Kita dapati ada peruntukan perundangan yang tidak membenarkan pelepasan ini. Kita mahu lihat macam mana ia boleh dilaksanakan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas melawat rumah keluarga mangsa tragedi lemas membabitkan 2 beranak di Kampung Baru Sungai Kob hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan Ahli Parlimen Padang Serai M Karupaiya.

Wan Azizah yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata pelaksanaan itu perlu dilakukan segera bagi melaksanakan janji dalam manifesto 100 hari Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.

Beliau juga berkata kerajaan juga akan melihat kaedah sesuai untuk melaksanakannya termasuk mekanisme yang boleh dibuat secara sukarela daripada suami untuk membuat caruman itu.

“Semua ini memerlukan usaha kerjasama melalui Kementerian Kewangan dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng,” katanya.

Wan Azizah juga berkata cadangan caruman 2% kepada suri rumah tidak membabitkan potongan tambahan caruman 11% daripada gaji suami.