Dr M tak pasti jika penjawat awam masih setia kepada BN

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempersoalkan kesetiaan penjawat awam kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana ada di kalangan mereka yang berkempen untuk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Perdana menteri berkata, penjawat awam sepatutnya neutral dan melaksanakan dasar ditentukan kerajaan baru.

“Antara masalah pentadbiran kita dapati ramai pegawai kerajaan sama ada sukarela atau tidak telah mengambil bahagian dalam pilihan raya lalu dan berkempen untuk BN.

“Kita sangsi dengan kesetiaan mereka, sama ada mereka masih pegang kesetiaan kepada parti dan kerajaan lama dan bukan kerajaan sekarang, ini akan mengganggu pentadbiran PH. Kita ingin mentadbir ikut cara, manifesto kita dan kita perlu kerjasama daripada pegawai ini.

“Kita tidak akan menghukum terus, tetapi kita perlu melihat kesetiaan mereka kepada kerajaan PH dan tidak boleh berpihak kepada propaganda BN,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH.

Turut hadir Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini ialah mesyuarat pertamanya dengan Majlis Presiden PH sejak pembebasannya dari penjara bulan lalu.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, kakitangan kontrak lantikan politik yang ditamatkan perkhidmatan baru-baru ini akan mendapat bantuan Aidilfitri.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak boleh bertolak ansur dengan mereka yang diberikan jawatan atas sokongan kepada parti lawan.

“Kena ambil tindakan sebab jawatan yang ada bukan keperluan dan diberi kepada orang yang menyokong parti lawan.”

Rabu lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) merayu kerajaan melanjutkan notis penamatan sebahagian 17,000 kakitangan kontrak lantikan politik yang ditamatkan perkhidmatan baru-baru ini.

Presidennya, Datuk Azih Muda mengharapkan lanjutan sekurang-kurangnya 6 bulan dari tempoh asal dengan mengambil kira sambutan Aidilfitri dan tanggungan kelompok terkesan seperti hutang dan pinjaman yang belum dilangsaikan.