Suri rumah rancang serangan hari mengundi ditahan polis

KPN Fuzi Harun berkata suri rumah itu antara 15 pengganas yang terdiri daripada warga tempatan, Filipina, Afrika dan Bangladesh.

KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah berusia 51 tahun ditahan pasukan Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Puchong pada 9 Mei lepas kerana merancang serangan pada hari pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada hari yang sama.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata suspek disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas merancang untuk melancarkan serangan menggunakan kereta untuk merempuh pengundi bukan Islam di pusat mengundi pada hari tersebut.

“Selain itu suspek juga merancang untuk merempuh rumah ibadat bukan Islam menggunakan kereta yang dimuatkan dengan tong gas sebagai bahan letupan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata setakat 27 Mac hingga 9 Mei lepas, PDRM menangkap 15 suspek berusia lingkungan 17 hingga 51 tahun kerana disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas termasuk suri rumah terbabit dalam operasi di Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Kelantan dan Sabah.

Tangkapan itu melibatkan 6 suspek rakyat tempatan, 2 warganegara Filipina yang mempunyai taraf penduduk tetap Malaysia, sepasang suami isteri dari Afrika Utara, 4 warganegara Filipina dan seorang warganegara Bangladesh.