‘Fail merah’ mengandungi rahsia 1MDB disiasat, kata Guan Eng

Lim Guan Eng berkata, syarikat perakaunan dan audit dalaman yang dilantik akan memastikan siasatan lebih komprehensif.

GEORGE TOWN: Proses siasatan berkenaan rahsia “fail merah” yang didakwa mengandungi perkara berkenaan penyelewengan dan skandal membabitkan syarikat 1MDB sedang dijalankan, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata proses siasatan itu dipertanggungjawabkan kepada syarikat perakaunan dan audit dalaman yang dilantik untuk memastikan siasatan lebih komprehensif.

“Syarikat perakaunan akan membuat siasatan sedaya upaya dan tiada had masa, tetapi saya yakin akan dijalankan (diselesaikan) secepat mungkin,” katanya selepas menghadiri majlis pemeteraian perjanjian persefahaman antara agensi Perbadanan Pemuliharaan dan Pembangunan George Town dengan Kedutaan Perancis, Kuala Lumpur, hari ini.

Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan kenyataan Lim berhubung “fail merah” berkenaan yang sebelum ini didakwa cuba disorok oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Dalam wawancara dengan akhbar itu, Lim dilapor berkata sebelum ini semua fail tersebut tidak boleh diakses kerana kerajaan BN menghalang auditor dan pegawai yang bertanggungjawab menelitinya secara profesional dan berintegriti.

Dalam perkembangan lain, Lim memuji langkah kerajaan negeri Pulau Pinang memotong 10% gaji ketua menteri dan 10 exco untuk disalurkan kepada Tabung Harapan Malaysia (THM).

Jumlah kutipan THM dikemas kini setiap hari pada 3 petang di laman web Kementerian Kewangan.