Laungan ‘Hidup Tun’ sambut ketibaan Dr M di Alor Setar

Dr Mahathir dijadual menghadap Sultan Kedah petang ini. (Gambar Bernama)

ALOR SETAR: Kepulangan Tun Dr Mahathir Mohamad ke Alor Setar buat julung kali selepas dilantik sebagai perdana menteri kali ke-2 pada 10 Mei lepas, disambut meriah rakyat Kedah pelbagai kaum di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, di sini, tengah hari tadi.

Sejurus pintu pesawat khas yang membawa pemimpin nombor satu negara itu dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Ali dibuka, laungan “Hidup Tun” oleh lebih 500 penyokongnya bergema di sekitar lapangan terbang itu, mengiringi ketibaan Dr Mahathir yang segak berbaju merah.

Dr Mahathir kemudiannya bersalaman dengan rakyat yang setia menunggu sejak 9 pagi lagi, dengan ada yang membawa sepanduk “Selamat Datang Perdana Menteri ke Kedah” dan “Tahniah Tun PM Malaysia ke-7”.

Antara pemimpin Pakatan Harapan yang turut menyambut ketibaannya ialah Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew dan Pengerusi Amanah negeri, Datuk Dr Ismail Salleh.

Dr Mahathir yang berada di Langkawi semalam dijadual menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada 2.30 petang ini di Istana Anak Bukit.

Mercy Samuel, 60, pembantu klinik di Klinik Maha yang diasaskan Dr Mahathir, amat teruja menyambut kedatangan Dr Mahathir yang mencipta sejarah menjadi perdana menteri sebanyak 2 kali.

“Kami rakyat Kedah sudah tentunya sangat berbangga dengannya dan yakin beliau mampu membawa perubahan dalam pelbagai bidang, Malaysia bakal mengalami kelahiran semula.”

Helen Loo Chean Yin, 50, berkata sebaik mendapat tahu daripada kepulangan Dr Mahathir ke Kedah daripada rakannya, beliau bergegas ke lapangan terbang untuk menemui pemimpin berusia 92 tahun itu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepadanya kerana menjadi perdana menteri ke-7 dan gembira beliau kembali menjaga negara ini. Jadi, terima kasih kepada semua penyokong yang memastikan ini menjadi kenyataan, ini impian rakyat,” katanya yang tidak dapat menahan sebak.

Dr Mahathir, anak jati Alor Setar mencipta sejarah menjadi perdana menteri tertua di dunia dengan kembali ke Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya selepas 15 tahun melepaskan jawatan itu pada 2003.