Lelaki bunuh diri selepas tembak mati rakan di Perak

MANJUNG: Seorang warga emas bertindak membunuh diri selepas menembak mati rakannya berhampiran sebuah restoran di Kampung Koh, Sitiawan, dekat sini malam tadi.

Chu Phan Hoo, 62, ditemui mati dipercayai menembak dirinya di dalam kereta jenis Toyota Fortuner di Simpang Dua, kira-kira 10km dari lokasi dia menembak rakannya, Ling Iu King, 66.

Ling meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Seri Manjung.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, semasa kejadian, dia sedang minum di kedai tersebut dan terlihat suspek mengeluarkan senapang patah dari kereta jenis Toyota Fortuner sebelum menembak seorang lelaki dengan beberapa das tembakan pada jarak dekat di kawasan letak kereta kedai tersebut.

“Pada mulanya saya melihat mereka berdua sedang minum bersama beberapa rakan lain di meja sama,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam tadi.

Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook memaklumkan Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Muhammad Hanif Othman mengesahkan kejadian tersebut.

Kenyataan itu turut menggesa orang ramai supaya menghentikan penyebaran video kejadian itu yang tular dalam Facebook dan aplikasi WhatsApp kerana ia akan mengundang gangguan emosi pihak tertentu, terutamanya keluarga mangsa.

“Ini juga akan mendatangkan rasa takut dan kebimbangan kepada orang awam serta sekitar kawasan, termasuk mengganggu siasatan polis,” menurut kenyataan itu.