Musa nafi keluar negara secara haram, jamin beri kerjasama

PETALING JAYA: Bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman membalas spekulasi mengatakan dia keluar negara secara haram dan berkata dia sentiasa menggunakan saluran imigresen yang betul dalam semua perjalanannya.

Peguam beliau, Zahir Shah, dalam kenyataan berkata Musa sedang mendapatkan rawatan kesihatan atas nasihat para doktornya kerana lama tertangguh.

“Saya mahu mengumumkan yang Musa ingin menjelaskan dia tidak pernah keluar melakukan perjalanan secara haram dan ingin menyatakan perjalannnya sentiasa melalui saluran imigresen yang betul,” katanya.

“Musa akan pulang sebaik selepas rawatan kesihatannya selesai dan pakar perubatan berpuas hati dengan keadaan kesihatannya,” kata peguam tanpa mendedahkan lokasi Musa.

Zahir berkata Musa mengulangi kesediaan untuk memberikan kerjasama penuh untuk membantu pihak berkuasa, jika mereka menjalankan tugas secara adil dan “berpegang teguh kepada kedaulatan undang-undang dengan bersungguh-sungguh”.

Semalam, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata ketua Umno Sabah itu, dan ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos, disenarai hitamkan dari keluar negara dan akan dianggap sudah melakukan satu kesalahan jika didapati berada di luar negara.

Beliau berkata tidak ada rekod mereka meninggalkan negara ini.

Seorang pengguna Facebook baru-baru ini mendakwa dia ternampak seseorang yang kelihatan seperti Musa di stesen kereta api St Pancras, London.

Musa dicari pihak polis untuk membantu siasatan ke atas satu laporan polis yang dibuat oleh Yang di-Pertua Sabah Tun Juhar Mahiruddin berkaitan satu laporan ugutan jenayah.

Polis Sabah berkata mereka akan menunggu dia pulang ke Sabah kerana dia hanya diperlukan untuk memberi keterangan bagi menjawab laporan itu.