Pedra Branca: Kenapa MB membisu, soal Umno Johor

Khaled Nordin berkata, keputusan itu menggambarkan Malaysia berputus asa untuk berjuang habis-habisan kedaulatan Pedra Branca. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Umno Johor menggesa kerajaan negeri menyatakan pendirian terhadap keputusan kerajaan persekutuan tidak meneruskan prosiding mencabar keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) ke atas kedaulatan Pedra Branca (Pulau Batu Puteh).

Pengerusi Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kecewa dengan sikap acuh tidak acuh kerajaan negeri dan menteri besar Johor yang membisu dengan keputusan itu.

“Tindakan sedemikian amat mendukacitakan. Kerajaan negeri seharusnya peka, aktif dan tegas menyatakan pendirian berhubung perkara ini.

“Terutamanya Pedra Branca terletak berhampiran dengan Johor dan sudah pastilah kedaulatan dan pemilikannya akan memberi kesan yang besar kepada persempadanan dan aktiviti laut di perairan Johor,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Rabu lalu, Kementerian Luar Singapura dilaporkan berkata, ICJ memaklumkan prosiding dalam 2 kes dikemukakan Malaysia terhadap republik itu berhubung penghakiman asal pada 2008 dalam kes membabitkan kedaulatan Pedra Branca, tidak diteruskan.

Singapura berkata, Malaysia pada 28 Mei lalu memaklumkan ICJ yang ia tidak akan meneruskan prosiding dimulakannya sebelum ini.

Kes pertama membabitkan permohonan Malaysia bagi semakan semula penghakiman asal ICJ mengikut Perkara 61 Statut ICJ yang difailkan pada 2 Februari 2017, manakala kes ke-2 membabitkan permohonan Malaysia bagi interpretasi penghakiman asal ICJ mengikut Perkara 60 Statut ICJ yang difailkan pada 30 Jun 2017.

Khaled yang juga pengerusi BN Johor turut mempersoalkan tindakan kerajaan persekutuan tidak memberikan alasan kukuh terhadap keputusan itu yang dibuat ketika peguam negara (AG) bercuti.

“Biarpun AG barangkali sudah memberikan nasihat dan pandangan, namun keputusan yang dibuat ketika AG bercuti boleh menimbulkan kontroversi dan kelihatan tidak teratur.

“Lebih penting, keputusan ini secara tidak langsung memberikan satu mesej moral yang tidak baik kepada kita selaku rakyat.”

Katanya, keputusan itu juga menggambarkan Malaysia berputus asa untuk berjuang habis-habisan kedaulatan Pedra Branca, sedangkan Putrajaya sepatutnya meneruskan kes dan prosiding mencabar keputusan ICJ.

“Keputusan untuk tidak meneruskan prosiding tersebut seolah-olah kita menyerah kalah dan melepaskan kedaulatan kita kepada Singapura dengan mudah, tanpa mempertahankannya dengan sehabis daya dan usaha.

“Ini adalah isu kedaulatan dan bukannya perkara remeh. Ia adalah perkara yang tidak boleh digalang ganti. Jadi, ia mesti dipertahan dan diperjuangkan dengan setegas-tegasnya.

“Lebih-lebih lagi ekoran wujudnya bukti dan keterangan baharu yang boleh dikemukakan sebelum ini, pihak AG sendiri yakin kita masih mempunyai kes boleh dibawa dan dipertahankan dalam isu ini.”

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/05/30/pedra-branca-singapura-dimaklum-malaysia-tidak-teruskan-prosiding/