Zahid bertanding presiden Umno, Khairy intai jawatan naib presiden

Zahid Hamidi ialah individu pertama mengisi serta menghantar borang pencalonan di ibu pejabat Umno semalam.

PETALING JAYA: Bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bertanding jawatan presiden Umno pada pemilihan parti tahun ini.

Setiausaha akhbar naib presiden Umno itu yang menjalankan tugas presiden parti, Datuk Fadzlette Othman Merican mengesahkan keputusan Zahid itu.

“Beliau akan bertanding jawatan presiden dan menjadi individu pertama mengisi serta menghantar borang pencalonan di ibu pejabat Umno semalam,” kata Fadzlette dipetik Utusan Online.

Ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan pula bertanding jawatan timbalan presiden, selepas mengambil kira permintaan ahli dan hala tuju parti selepas pilihan raya umum ke-14.

Bekas menteri belia dan sukan, Khairy Jamaluddin mengambil keputusan melepaskan jawatan ketua Pemuda untuk bertanding jawatan naib presiden Umno.

“Petang tadi (semalam), saya sudah mengisi borang dalam talian sebab ini hari pertama pencalonan (pemilihan Umno) dibuka,” kata Khairy.

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun pula akan merebut jawatan ketua Pemuda dengan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

“Saya yakin dengan peluang yang ada sebagai senator serta pengalaman sebagai naib ketua Pemuda Umno, kita akan berjaya membawa agenda pembaharuan,” kata Azwan.

Asyraf berkata, perubahan dalam Umno perlu bermula daripada pembangunan generasi muda yang merupakan pewaris perjuangan.

“Sekiranya perjuangan untuk mengejar pangkat dan kebendaan, hakikatnya pangkat dan kebendaan sudah tiada.

“Yang tinggal hari ini hanyalah sisa-sisa perjuangan menagih kesetiaan dan keikhlasan setiap warga untuk melakukan perubahan dalam parti,” kata bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dalam satu kenyataan hari ini.