MB Negeri Sembilan: Kerajaan pantau pegawai sokong BN

Aminuddin berkata kerajaan akan ambil tindakan selaras dengan kerajaan pusat berhubung isu itu. (Gambar Bernama)

SEREMBAN: Kerajaan negeri akan mengenal pasti pegawai kerajaan terlibat dalam kempen menyokong Barisan Nasional (BN) semasa pilihan raya bagi tindakan selanjutnya, kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

Beliau berkata pihaknya sedang meneliti individu terbabit, namun tindakan akan dibuat selepas perbincangan dalam mesyuarat yang akan diadakan kelak.

“Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad beri kenyataan agak keras mengenai golongan ini dan kita di Negeri Sembilan turut mengkaji isu ini secara keseluruhan.

“Kita akan memerhatikan pegawai terbabit. Kita lihat dulu keputusan perdana menteri terhadap pegawai kerajaan terbabit dan kita akan mengambil tindakan yang selaras,” katanya hari ini.

Aminuddin berkata demikian bagi mengulas kenyataan Dr Mahathir kelmarin yang kerajaan sangsi terhadap kesetiaan pegawai kerajaan terbabit berkempen untuk BN pada pilihan raya lepas kerana keadaan itu mengganggu pentadbiran kerajaan.

Sementara itu, beliau meminta isteri pegawai kerajaan yang hadir majlis khatam al-Quran anjuran kepimpinan lama Persatuan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Negeri Sembilan semalam memberi penjelasan.

“Walaupun ia satu program yang baik, apabila sensitiviti kepimpinan utama tidak dijaga, ia menunjukkan satu perkara tidak baik daripada pegawai kanan kerajaan.

“Saya mengharapkan perkara ini tidak lagi berlaku…program yang diadakan semalam terang-terang di bawah kepimpinan lama,” katanya.