Shahidan intai jawatan naib presiden Umno demi Perlis

Shahidan Kassim turut akan bertanding jawatan ahli Majlis Tertinggi Umno.

KUALA LUMPUR: Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak menolak kemungkinan bertanding jawatan naib presiden Umno pada pemilihan parti tahun ini.

Pengerusi BN dan Umno Perlis itu berkata, beliau membuat keputusan itu selepas meneliti situasi di Perlis yang masih mendapat kepercayaan rakyat negeri itu pada pilihan raya umum lalu.

“Saya sedang memikirkan ke arah itu (bertanding jawatan naib presiden dan juga ahli Majlis Tertinggi Umno). Tetapi sudah pasti saya akan bertanding jawatan ahli Majlis Tertinggi.

“Ini setelah saya berfikir kebangkitan Umno perlu bermula dari Perlis kerana negeri ini menang 2/3 kerusi secara majoriti,” katanya ketika dihubungi FMT.

Sebelum ini, Khairy Jamaluddin mengesahkan beliau melepaskan jawatan ketua Pemuda untuk bertanding naib presiden Umno.