Tajuddin: MCA tak buat kerja, dah kalah baru tuding jari

Tajuddin Abdul Rahman berkata, Wee Ka Siong tidak sepatutnya menyalahkan Umno kerana parti itu turut membantu MCA dan kaum Cina, tetapi MCA yang tidak dapat meyakinkan pengundi Cina. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menempelak Datuk Seri Wee Ka Siong hanya menyalahkan parti itu selepas kekalahan mengejut kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata, timbalan presiden MCA itu sepatutnya menyuarakan rasa tidak puas hatinya kepada Umno sebelum PRU14, bukannya menuding jari selepas BN tewas kepada Pakatan Harapan (PH).

“Ini Wee Ka Siong dah kalah baru berani nak cakap, dulu tak berani,” katanya pada sidang media khas di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu mengulas kenyataan Wee yang berkata, MCA tidak akan menanggung kesalahan dilakukan Umno dan parti itu akan membuat keputusan serta membawa haluan sendiri.

“Apa saja (hal salah) yang dikatakan bekas menteri dan pemimpin dulu, saya tidak akan ‘bayar’ bagi pihak mereka. Maaf, kami tidak akan berbuat demikian lagi,” katanya dipetik Sin Chew Daily semalam sambil membayangkan BN tidak lagi sama seperti dahulu.

Tajuddin berkata, Umno khususnya bekas presidennya, Datuk Seri Najib Razak tidak pernah meminggirkan MCA dan sentiasa memberi layanan sama rata kepada semua parti komponen BN.

“Macam-macam kita bagi, lepas tu kalah PRU13, lantik lagi jadi menteri dan timbalan menteri.

“Apa lagi yang MCA nak? Mereka ini tidak buat kerja tau tak, yang buat kerja Wanita Umno siang malam.

“Beritahu Wee Ka Siong, saya rasa tidak adil dia keluarkan kenyataan seperti itu sebab apa yang berlaku bukan sebab Umno. Kami buat kerja bersungguh-sungguh, kami bekerja untuk MCA dan kaum Cina. Masalahnya MCA tidak dapat yakinkan pengundi Cina.”

Sementara itu, Tajuddin menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap cadangan peguam kanan, Tommy Thomas menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai peguam negara.

“Itu pelantikan (peguam negara), perdana menteri boleh mencadangkan kepada Agong, tapi kena dapat persetujuan Agong. Kalau Agong tidak setuju, maka tidak jadilah, carilah calon yang dapat dipersetujui Agong.

“Perdana menteri bagi sahaja nama yang Agong boleh setuju. Bagi pihak Umno, kita tidak ada masalah asalkan peguam negara yang dilantik itu seorang yang boleh menjalankan tugasnya dengan baik.

Katanya, beliau tidak mahu peguam negara baru menjadi pak turut kerajaan.

“Jangan pula peguam negara yang boleh jadi orang suruhan. Perdana menteri pula dulu kata kita macam-macam, Apandi Ali ikut kerajaanlah.

“Sekarang pastikan calon yang dikemukakan itu ialah orang yang tidak akan mengikut telunjuk, orang yang bebas.”