Tajuddin pelawa PAS bersama Umno perjuang kepentingan Islam

Tajuddin Abdul Rahman mengakui perjuangan Umno dan PAS hampir sama, namun bukan semua pendekatan parti Islam itu diterima ahli Umno. (Gambar Reuters)

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mempelawa PAS untuk bersama parti itu menentang keputusan tidak adil kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH), khususnya berkaitan kepentingan umat Islam.

“Kita hormat pada dia (Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man) ajak ahli Umno masuk PAS, tak logik ahli Umno 3.7 juta orang nak masuk PAS. Kita (Umno) tak ajak ahli PAS masuk Umno.

“Saya syor PAS dan Umno kerjasama, tak perlu salah satu parti nak kena bubar, parti kekal masing-masing tapi kita cari titik pertemuan kerana PAS dan Umno sama berjuang untuk orang Islam.

“Kita boleh mula kerjasama menghadapi kerajaan di atas keputusan yang tidak adil, khususnya kepada orang Islam,” katanya pada sidang media khas di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Tuan Ibrahim yang mempelawa ahli Umno menyertai parti Islam itu untuk membentuk gabungan kuat selepas Umno tewas pada pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Katanya, PAS sentiasa membuka pintu kepada ahli Umno, tetapi tidak mungkin parti Islam itu akan membentuk kerjasama dengan Umno.

Tajuddin yang juga ahli Parlimen Pasir Salak bagaimanapun menaruh harapan PAS dan Umno boleh bekerjasama membentuk kerajaan campuran.

“Sekiranya ada peluang, maka kita boleh bergabung bentuk kerajaan itu yang terbaik. Kita akan jadi kumpulan yang kuat,” kata ketua Umno Bahagian Pasir Salak itu.

Lebih 3 minggu selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu, kemelut BN Perlis masih berlarutan kerana Datuk Seri Azlan Man belum mempunyai barisan exco, selepas beliau mengangkat sumpah sebagai menteri besar penggal ke-2 di depan Raja Perlis pada 24 Mei lalu tanpa kehadiran baki 9 adun BN.

Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang murka dengan tindakan 9 adun BN itu berkata, beliau tidak melantik Datuk Ismail Kassim, adik kepada Pengerusi BN dan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menerajui negeri itu kerana tidak mahu seorang menteri besar boneka yang dikawal kuasa luar.

Ia disusuli pengumuman Shahidan bersama 9 adun BN dalam sidang media di Kuala Lumpur pada hari sama untuk memecat keahlian Azlan dalam parti kerana mendakwa beliau tidak mendapat sokongan majoriti 9 wakil rakyat BN Perlis untuk dilantik sebagai MB.

Tajuddin mengakui perjuangan Umno dan PAS hampir sama, namun bukan semua pendekatan parti Islam itu diterima ahli Umno.

“Ahli PAS ramai juga, mereka kalau adakan program berkhemah ramai-ramai. Orang Umno buat dalam dewan, mungkin Umno kena tiru cara PAS berkhemah.”