Majlis Peguam minta Agong segera lantik Peguam Negara baru

Presiden Majlis Peguam George Varughese berkata Agong perlu menamatkan kebuntuan mengenai jawatan Peguam Negara dengan segera. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Majlis Peguam Malaysia hari ini meminta Yang di-Pertuan Agong melaksanakan tugas perlembagaan Baginda melantik Peguam Negara baru atas nasihat perdana menteri, dan menamatkan kebuntuan yang bermula 3 minggu lalu apabila Peguam Negara sekarang diarahkan bercuti tanpa rekod.

Presiden Majlis Peguam, George Varughese berkata Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan menyebut: “Yang di-Pertuan Agong hendaklah atas nasihat Perdana Menteri melantik seorang yang layak menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara bagi Persekutuan”.

“Sebagai Raja berperlembagaan Yang di-Pertuan Agong mempunyai tanggungjawab perlembagaan untuk mengikut Perlembagaan Persekutuan, yang dengan jelas menetapkan bahawa Baginda mesti bertindak atas nasihat perdana menteri.

“Oleh sebab itu Yang di-Pertuan Agong mesti melantik seseorang atas nasihat perdana menteri sebagai Peguam Negara baru dan menamatkan kebuntuan ini tanpa lengah lagi,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Apandi kini bercuti tanpa rekod sejak 15 Mei lepas, sementara Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek memangku tugas beliau sebagai Peguam Negara.

Beliau berhadapan tekanan berhubung jawatannya itu berikutan isyarat jelas daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mahu mengekalkannya.

Nama Apandi selalu disebut oleh Dr Mahahthir dalam kempen pilihan rayanya, dan didakwa menutup penyiasatan skandal 1MDB.

Pada 2015, bekas hakim itu berkata tidak ada kes terhadap bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung dakwaan wang lebih 2 bilion ringgit dipindahkan ke akaun peribadi beliau. Kontrak Apandi yang tamat April lepas disambung untuk tempoh 3 tahun lagi.

Berikutan kemenangan mengejut Pakatan Harapan dalam pilihan raya 9 Mei lepas, Dr Mahathir berkata Apandi akan disiasat berkait peranan beliau menghalang penyiasatan ke atas 1MDB.

Varughese berkata, pelaksanaan tanggungjawab perlembagaan Yang di-Pertuan Agong itu tidak boleh dihalang oleh “pandangan yang mengambil kira kriteria yang tidak mempunyai asas perlembagaan, dan berdasarkan pertimbangan tidak berkaitan atau yang boleh dianggap sewenang-wenang atau mendiskriminasi”.

Katanya, Majlis Peguam berasa “terkejut dan terganggu” terhadap kebuntuan yang berlaku sepanjang beberapa minggu lepas, dan berkata Yang di-Pertuan Agong mesti menjalankan peranan seorang Raja berperlembagaan “sepenuhnya menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan”.

“Peguam Negara mempunyai peranan penting sebagai penasihat undang-undang utama kepada kerajaan dan sebagai pendakwa raya, oleh sebab itu seorang Peguam Negara baru mesti dilantik tanpa bertangguh lagi.”