Pengikut aliran Ahmadiyyah harap perubahan besar dalam pentadbiran Islam

Indrawan Ahmad, berkata kerajaan PH mesti berani bawa Malaysia keluar dari kepompong agama. Jangan fokuskan ritual tetapi lebih falsafah untuk bangunkan Islam.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin komuniti Ahmadiyyah tempatan – yang mengikut satu aliran Islam yang tidak diiktiraf oleh ulama Islam arus perdana – berharap kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya memulakan pembaharuan dalam pentadbiran agama di negara ini dengan memberi penekanan kepada sudut falsafah Islam, bukan tafsiran literalnya.

Indrawan Ahmad, jurucakap Jamaah Muslim Ahmadiyyah Malaysia, pertubuhan yang menghimpunkan pengikut aliran itu yang secara rasmi dianggap berada di luar lingkungan Islam berkata, kini tiba masanya untuk membawa Malaysia keluar dari “kepompong agama” itu

“Kerajaan PH mesti berani bawa Malaysia keluar dari kepompong agama. Jangan fokuskan ritual, tetapi lebih falsafah untuk membangunkan Islam,” kata beliau.

Katanya satu masalah dengan pentadbiran agama Islam di Malaysia ialah dominasi cendekiawan Islam yang dipengaruhi doktrin Wahhabi ke atasnya.

“Wahhabisme sangat keras dan sempit,” katanya kepada FMT sempena satu forum semalam.

Indrawan merujuk kepada “Wahhabisme” istilah lain bagi Islam Salafi, yang membawa tafsiran Islam yng lebih murni, tetapi ditentang kuat oleh versi Islam tradisional.

Pihak berkuasa agama Malaysia memfatwakan aliran Ahmadiyyah sesat kerana pengikutnya percaya Mirza Ghulam Ahmad Qadian, yang meninggal dunia pada 1908 merupakan Penyelamat yang dijanjikan kemunculan semulanya.

Orang Islam arus perdana, sebaliknya percaya Penyelamat yang dimaksudkan ialah Nabi Isa, yang akan muncul semula ke dunia untuk kali kedua menjelang berlakunya Kiamat.

Indrawan berkata perlu ada usaha bagi menghentikan ceramah agama yang menggalakkan kebencian dan menghalang sikap tertutup.

Beliau memberi contoh penceramah yang melarang orang Islam mengucapkan “Selamat Hari Krismas” kepada penganut agama Kristian.

“PH kena hentikan ceramah agama yang bersifat kebencian dan tak inklusif, macam tak boleh ucap selamat menyambut Krismas. Itu tak mengugat akidah,” katanya.

“Pemikiran sebegitu salah, atau yang memberitahu orang Islam bahawa semua manusia lain yang tidak beriman akan masuk ke neraka.

“Kita perlu betulkan perkara ini. Ini bukan masalah kerajaan yang mentadbir negara ini, tetapi masalah penguat kuasa agama yang gagal memahami ajaran Nabi Muhammad,” kata beliau.

Indrawan berkata, masalah lain ialah apabila aliran pemikiran Islam tertentu diguna pakai secara rasmi.

“Mereka hanya nampak mazhab Shafi’i betul,” katanya, merujuk kepada mazhab Sunni terbesar di Malaysia.

Katanya harus ditekankan sudut falsafah Islam, selain menggalakkan aktiviti dialog dengan orang bukan Islam dan pengikut aliran atau mazhab Islam lain.

“Kena banyakkan perbincangan dengan orang bukan Islam atau orang bukan bermazhab Shafi’i. Jangan cepat menghukum. Kenapa tak belajar daripada Katholik dan Protestan. Mereka kini boleh berdamai. Bukan siapa lebih Islam, siapa kafir,” katanya.