Muhyiddin: Apandi boleh disiasat jika ada laporan

Muhyiddin Yassin berkata, jika ada laporan terhadap pihak lain, Kementerian Dalam Negeri akan siasat dan kaji sama ada ia adalah kes prima facie.

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata siasatan akan dijalankan ke atas bekas peguam negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali jika ada laporan dibuat terhadapnya.

“Tetapi, jika ada laporan terhadap pihak lain, sama ada peguam negara atau tidak, Kementerian Dalam Negeri akan siasat juga dan kaji sama ada ia adalah kes prima facie,” katanya selepas lawatan pertama ke Jabatan Imigresen dan taklimat tertutup hari ini.

Muhyiddin berkata demikian beberapa jam selepas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V memperkenankan pelantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara bagi menggantikan Apandi yang diarahkan bercuti sejak 15 Mei lalu.

Bulan lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Apandi diarahkan bercuti sementara sementara menunggu siasatan selesai, susulan pelbagai aduan yang diterima mengenai kredibilitinya ketika menjalankan tugas.

Katanya, Apandi merendahkan kredibiliti sendiri dengan menyembunyikan bukti salah laku dalam kes 1MDB dan tindakan itu salah di sisi undang-undang.