Badan pemikir gesa kerajaan kaji peranan Pharmaniaga

Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata, perlu ada saingan dalam proses pemerolehan ubat, bukannya bergantung kepada monopoli syarikat tunggal. (Gambar Reuters).

PETALING JAYA: Sebuah badan pemikir mencadangkan kerajaan mengkaji semula peranan Pharmaniaga dalam sistem penjagaan kesihatan awam kerana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pada dasarnya bertindak sebagai orang tengah.

Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata, jarang sebuah negara bergantung hanya kepada sebuah syarikat konsesi membekalkan produk biofarmaseutikal bagi jangka panjang.

“Pharmaniaga ialah pemegang konsesi tunggal untuk membeli, menyimpan, membekal dan mengedarkan ubat-ubatan berjenama serta generik yang diluluskan ke 148 hospital kerajaan dan 2,871 klinik serta pejabat kesihatan daerah di seluruh negara,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Galen, Azrul Mohd Khalib kepada FMT.

Daripada RM27 bilion yang diperuntukkan untuk penjagaan kesihatan awam tahun ini, katanya, RM2.5 bilion bagi bekalan perubatan dan RM1.6 bilion untuk barangan boleh dimakan dan sokongan perubatan.

“Dengan 100% bahagian pasaran daripada konsesi kerajaan, lebih RM1 bilion untuk Pharmaniaga setiap tahun,” katanya sambil menambah GLC itu mempunyai konsesi 10 tahun dengan Kementerian Kesihatan yang akan tamat tahun depan.

Beliau mendakwa Pharmaniaga akan mendapatkan ubat-ubatan dan menjualnya kepada Kementerian Kesihatan pada harga ditentukan terlebih dahulu dan kenaikan tambahan serta kadar komisen untuk menampung kos pengedaran, penyimpanan inventori dan pemerolehan.

“Sudah sampai masanya kementerian berurusan terus dengan syarikat farmaseutikal, bukannya bergantung kepada orang tengah,” katanya sambil menambah ini dapat menjimatkan berjuta ringgit.

“Memastikan rakyat Malaysia boleh mendapat penjagaan kesihatan berkualiti dan mudah didapati bermula dengan memastikan wujud saingan dalam proses pemerolehan ubat-ubatan, bukannya bergantung kepada monopoli.”

Azrul berkata, kekurangan saingan membantut pembangunan sistem penjagaan kesihatan awam dan mengehadkan akses pesakit kepada ubat-ubatan.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang berkata, kerajaan perlu mengkaji semula peranan dimainkan semua GLC dalam sistem penjagaan kesihatan, termasuk Pharmaniaga.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan perlu mempunyai alasan baik untuk penubuhan Pharmaniaga.

“Perlu diingatkan peranan Pharmaniaga tidak terhad kepada bekalan, tetapi juga logistik dan memastikan aksesibiliti kepada farmaseutikal di seluruh negara,” katanya kepada FMT sambil menambah Pharmaniaga turut menyediakan sistem maklumat farmasi untuk Kementerian Kesihatan.

Demi keadilan, katanya, menteri kesihatan boleh mengkaji semula peranan dan impak GLC sedemikian serta mempertimbangkan alternatifnya sebelum membuat keputusan mengenainya.

Beliau berkata, tidak adil dan menyalahkan Pharmaniaga untuk kos perubatan kerana GLC itu hanya sebahagian daripada rantaian bekalan dan pengambilan keuntungan boleh berlaku sepanjang proses itu.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad ketika dihubungi enggan mengulas syarikat tertentu itu, tetapi kementeriannya sedang mengkaji cara untuk mengurangkan harga ubat.

Ahli Parlimen DAP, Tony Pua pernah berkata, harga ubat di hospital Malaysia 148% lebih tinggi dari Australia kerana kerajaan pimpinan Barisan Nasional “memaksa” hospital membelinya melalui Pharmaniaga.

Tahun lalu, bekas menteri kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, Pharmaniaga memainkan peranan penting, khasnya dalam logistik dan pengedaran.