C4 gesa peguam negara wajibkan pasangan menteri isytihar harta

Cynthia Gabriel berkata peguam negara harus melindungi negara agar skandal seperti 1MDB tidak berulang.

KUALA LUMPUR: Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) hari ini mengucapkan tahniah kepada Tommy Thomas atas pelantikannya sebagai peguam negara, sambil menawarkan beberapa cadangan untuk menambah baik tadbir urus kerajaan.

Pengarah Eksekutif C4, Cynthia Gabriel berkata, selepas memastikan keadilan dalam 1MDB, Thomas harus menghalakan perhatiannya kepada skandal lain seperti pembelian PT Eagle High Plantations oleh Felda, dakwaan sogokan dalam pembelian kapal selam Scorpene, dan projek “Pipeline to Nowhere” bernilai RM9.4 bilion yang didedahkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam.

Dalam masa jangka panjang, tambahnya, Thomas harus mewujudkan undang-undang pengisytiharan harta awam bagi mewajibkan pasangan menteri dan Ahli Parlimen mengisytiharkan aset mereka.

“Walaupun kita tidaklah mengharapkan setiap pasangan sebaik Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, kita sememangnya tidak boleh ada seorang lagi Datin Seri Rosmah Mansor, yang tanpa segan silu hidup dalam kemewahan,” katanya, membandingkan isteri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Sekurang-kurangnya, kita perlu proses semakan yang mewajibkan Jabatan Peguam Negara melaksanakan pendakwaan berhubung hal berkaitan kepentingan awam seperti 1MDB,” tambahnya.

Cynthia juga menyeru Thomas mempertimbangkan satu undang-undang yang bolehkan pengawasan awam atau Parlimen yang lebih kuat ke atas syarikat berkaitan kerajaan dan dana pelaburan berkaitan kerajaan.

Cynthia turut menggesa beliau mengasingkan peranan penasihat undang-undang kepada kerajaan dan pendakwa raya awam kepada 2 jawatan.

Beliau juga menyeru Akta Rahsia Rasmi dimansuhkan, yang mana beliau cadang digantikan dengan Akta Kebebasan Maklumat yang mengkhususkan secara terperinci apa yang dikategorikan sebagai rahsia.

Tambahnya, juga terdapat keperluan mewujudkan undang-undang pembiayaan politik agar politik wang dan penggunaan sumber kerajaan untuk kepentingan parti semasa pilihan raya boleh dihentikan sama sekali.

“Kami pasti Tommy Thomas akan bekerja penuh dedikasi dan etika sebagai penasihat undang-undang dan pendakwa raya.

“Kami berharap semangat itu bukan sahaja akan dihalakan kepada menyelesaikan isu 1MDB tetapi bagi memastikan Malaysia tidak sekali lagi menjadi mangsa.”