Menteri pertanian tangguh pelantikan ‘pakar pemasaran’ diragui

PETALING JAYA: Pelantikan Najib Asaddok sebagai ahli Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN) ditangguh sehingga satu siasatan ke atas tuduhan yang diilemparkan terhadap “pakar pemasaran internet” itu selesai dijalankan, kata menteri.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata keputusan diambil susulan kritikan orang ramai terhadap kelayakan Najib untuk menyertai majlis penasihat itu.

Majlis ditubuhkan untuk membantu kerajaan meningkatkan tahap jaminan bekalan makanan negara dan eksport pertanian.

“Ini merupakan kata sepakat yang telah kami capai untuk kebaikan bersama. Saya telah mengadakan perbincangan hati ke hati dengan beliau berasaskan kepada laporan-laporan dan komen-komen di media sosial terhadap pelantikannya sebagai ahli MPPN.

“Maka, secara tulus hati, beliau bersetuju untuk menangguhkan penyertaannya dalam MPPN,” katanya.

Sebelum itu, Salahuddin pada sidang medianya hari ini meminta pengkritik memberikan peluang kepada Najib mempertahankan kelayakannya menganggotai majlis itu.

Semalam Salahuddin mengumumkan pelantikan Najib, dan 3 anggota lain, iaitu Pengerusi Dagang NeXchange Bhd, Tan Sri Abdul Rahman Mamat; Pengarah Eksekutif Leong Hup International Sdn Bhd, Tan Sri Francis Lau Tuang Nguang; dan Pengarah Institut Kajian Dasar Makanan dan Pertanian di Universiti Putra Malaysia, Datin Fatimah Mohd Arshad.

Orang ramai bagaimanapun mempersoalkan kelayakan Najib, mendakwa “pakar pemasaran internet” itu berguru dengan pakar motivasi, Azizan Osman, yang terpalit kontroversi mengenai kelayakan akademiknya.

Salahuddin hari ini berkata ahli MPPN dilantik daripada pelbagai kemahiran dan tidak terhad kepada bidang pertanian sahaja.

Beliau berkata sesetengah ahli MPPN diambil luar dari bidang pertanian agar idea-idea baru dan segar dapat diterapkan untuk menambahbaik fungsi dan perkhidmatan kementerian.

“Najib dilantik sebagai penasihat berdasarkan latarbelakang beliau sebagai seorang jurulatih pemasaran dalam talian,” katanya.