Sabah akan kaji projek saluran paip gas dibiayai China

KM Sabah Shafie Apdal akan meneliti sama ada projek TSGP memberi manfaat kepada rakyat serta kosnya. (Gambar bernama)

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan negeri Sabah amat mengambil berat tentang projek Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP).

Kata Shafie, beliau difahamkan projek itu dikendalikan Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER), anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan.

“Saya akan berjumpa dengan YB Lim Guan Eng (Menteri Kewangan) dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan butiran terperinci dan melihat apa yang akan dilakukan Kerajaan Persekutuan tentang projek itu,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri perlu mengkaji secara terperinci tentang projek itu, termasuk bagaimana ia akan memberi manfaat kepada rakyat serta kosnya.

Laporan media baru-baru ini menyebut TSGP akan dibiayai melalui pinjaman mudah berjumlah RM4.53 bilion daripada sebuah bank di China dan dijamin kerajaan Malaysia.

Menteri nafi blok minyak dan gas Sabah cagaran pinjaman China