Umno Pahang calon Ismail Sabri tanding jawatan naib presiden

KUALA LUMPUR: Umno Pahang menamakan Ahli Parlimen Bera Datuk Ismail Sabri Yaakob sebagai calon negeri untuk jawatan naib presiden parti.

Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, keputusan dibuat berdasarkan kelayakan yang ada pada Ismail.

“Beliau bertanding untuk membantu parti. Lagipun saya nampak ada hasrat yang suci untuk berkhidmat pada parti,” katanya dalam sidang media di Hotel Pasifik.

Beliau turut mengumumkan 4 wakil daripada Umno Pahang dinamakan untuk bertanding kerusi ahli majlis tertinggi Umno.

“Mereka adalah Adun Lanchang, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin; Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said; Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamed dan Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abd Muttalib,” katanya.

Jelasnya, mereka ini dipilih berdasarkan kredibiliti dan pemenang kerusi Parlimen.

Sementara itu Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Sahar Abdullah turut mengumumkan dirinya bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia.

Ketua Pemuda Umno Pahang membuat pengumuman itu selepas diberi mandat oleh parti.

“Saya selaku ketua Pemuda Umno Pahang mendapat mandat daripada 14 bahagian untuk tawarkan diri bertanding sebagai ketua Pemuda,” katanya.

Sahar turut mengumumkan, 2 lagi calon Pemuda, Azril Rizal Yusof dan Muhammad Faiz Hashim bagi jawatan exco Pemuda.

Beliau berharap ketua yang dipilih nanti seorang Ahli Parlimen untuk membawa suara Pemuda Umno di Dewan Rakyat.

“Jadi elok ketua Pemuda yang memenangi pilihan raya sebab boleh bersuara mewakili Pemuda dalam Dewan Rakyat,”katanya.

Antara calon ketua yang mengumumkan bertanding jawatan ketua Pemuda Umno ialah bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos.