Tinggal seminggu lagi untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri 2018, tak dapat dinafikan kebanjiran iklan-iklan raya di laman-laman sosial selain kaca televisyen dan corong radio.

Memang umpama perang dengan iklan-iklan Raya yang dipromosi membawa jenama dan syarikat tertentu. Namun, menariknya hampir kesemua iklan yang disiarkan ini dibawa dalam bentuk drama atau cerita pendek yang menyampaikan mesej agak mendalam dan berkesan.

FMT Ohsem memilih 5 lagi pilihan iklan Raya membawa genre segar, baru dan pelbagai walaupun rata-rata masih memegang ikatan kekeluargaan sebagai intipati utama. Mari kita intai 5 iklan tersebut!

Biru yang dilupakan sehinggalah tibanya Syawal.

Memang pada awalnya seperti tidak diduga apa yang tersembunyi di sebalik figura biru ini. Di awal penceritaan, watak biru yang dipakaikan baju Melayu siap bertanjak dengan jata negara seolah kesal kerana dirinya didiskriminasi kerana warna…. warna birunya. Apakah ia menceritakan stereotaip warna kulit, diskriminasi bangsa atau lain-lain? Sehinggalah menyaksikan bahagian separuh kedua, baru kita faham “mesej” sebenar yang dimaksudkan. Idea yang memang kreatif dan benar-benar baru. Anda kena saksikan sendiri, baru tau kenapa biru didiskriminasi sehinggalah tibanya Syawal.
Bagaimanapun kami tidak dapat mengesan sumber asal iklan ini. Kalau anda ada maklumat, minta kongsi!

Imbas misi ikhlas Aidilfitri guna cermin mata khas

Lazimnya manusia berubah kepada lebih baik atau sebaliknya apabila mencapai status tertentu dalam kehidupan mereka. Rata-rata, kepada yang lebih …… Jadi bagaimana untuk sedarkan mereka dan kembalikan golongan ini berpijak ke bumi nyata? Itulah intipati yang digunakan oleh rangkaian farmasi Watsons kepada watak Munira, seorang pengacara popular yang hidup dalam dunia “cloud 9” tersendiri. Cermin mata magis pemberian seorang lelaki misteri seperti mesin pengimbas kepada segala kelakuan dan perbuatan Munira terhadap orang lain. Memang lain daripada lain!

Tetap berusaha sambut walau baju raya hangus terbakar

Iklan ini menggunakan elemen tragis sebagai intipati jalan cerita utamanya. Pendekatan yang jarang digunakan tetapi nampaknya berhasil juga. Apabila baju-baju yang dibelikan oleh watak Mak Yong terbakar kerana main mercun. Semuanya kerana watak si anak bernama Din! Apa pun sehari sebelum Raya, semuanya dapat diperbaiki, bukan mudah tetapi hasil usaha dan berkat, dibantu watak jiran, Pn Malini. Akhirnya, baju Raya keluarga Din berkelip-kelip dengan cahaya lampu! Iklan ini dibawa oleh syarikat insurans dan takaful Sun Life Malaysia.

Marah dalam bahasa Cina depan mak mertua Melayu

Perbezaan bahasa dan budaya tak semestinya memisahkan, sebaliknya perbezaan adalah sesuatu yang perlu dirai untuk disatukan. Malangnya pelbagai salah sangka dan syak wasangka timbul dalam perbezaan dan itulah yang cuba disampaikan dalam iklan Telekung Siti Khadijah ini. Watak menantu berbangsa Cina dan ibu mertua berbangsa Melayu, apa jadi si antara mereka? Mendalam dan menyayat hati penonton.

Ayah saya paling kedekut demi masa depan saya

Iklan ini dinaratifkan oleh watak seorang kanak-kanak perempuan mengenai ayahnya yang merupakan seorang “paling” kedekut. Minta apa pun tak dapat, kalau ya pun mesti belikan barangan murah. Tetapi mesej yang cuba disampaikan ialah pertaruhan setiap bapa dalam dunia ini dalam memastikan masa depan anak mereka terjaga. Itulah kandungan asas yang cuba disampaikan dalam iklan Raya ini. Syarikat perbankan Hong Leong cuba menyuntik elemen berjimat-cermat yang mana amat penting khususnya menjelang musim perayaan.