Justo buat laporan jenayah di balai polis London

Xavier Justo dan isteri bergambar di luar New Scotland Yard, ibu pejabat Polis Metropolitan di London. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Warga Switzerland dan bekas kakitangan PetroSaudi International, Andre Xavier Justo yang membocorkan e-mel 1MDB, memfailkan laporan jenayah terhadap “beberapa syarikat dan individu United Kingdom (UK)” di London, kata keluarganya hari ini.

Sekeping gambar Justo dan isterinya dimuat naik ke Facebook beberapa jam lalu dengan kapsyen:

“Aduan jenayah difailkan di London terhadap beberapa syarikat dan individu UK yang terlibat dalam perjanjian PetroSaudi 1MDB.

“Perjuangan belum selesai, kita akan mencari mereka semua, dari atas ke bawah. Jenayah mereka tidak akan dan tidak pernah dilupakan atau dimaafkan!

“Kita berjuang sebagai sebuah keluarga kerana kita menderita sebagai sebuah keluarga! Kami akan berehat apabila penyangak ini ditangkap, bukan sebelum itu. Keluarga Justo.”

Catatan itu tidak menamakan mana-mana syarikat atau individu yang mungkin dinamakan sebelum ini.

Bagaimanapun, perjanjian PetroSaudi-1MDB melibatkan ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, ialah seorang daripada 2 individu yang dikehendaki Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini.

Justo adalah rakan dan sekutu rapat ahli perniagaan Timur Tengah, Tarek Obaid, yang mengasaskan PetroSaudi International bersama Putera Arab Saudi, Turki bin Abdullah yang juga anak ke-7 Raja Abdullah.

PetroSaudi International dan 1MDB terlibat dalam usaha sama bernilai AS$2.5 bilion pada 2009, di mana dokumen mahkamah di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan ia diuruskan Jho Low dan Pengarah Urusan Perniagaan PetroSaudi, Patrick Mahoney.

Justo sebelum ini membuat laporan polis di Thailand mendakwa Mahoney dan seorang lagi warga Britain, Paul Finnigan, memeras ugutnya melalui e-mel menggunakan pelayan komputer PetroSaudi, yang dibocorkannya. Beliau juga mendakwa mereka terbabit dalam pengubahan wang haram dan kesalahan lain.

Dalam perjanjian PetroSaudi-1MDB, syarikat Obaid menyumbang aset minyak dan gas bernilai AS$1.5 bilion, sementara 1MDB menyuntik dana AS$1 bilion dalam bentuk tunai.

Dokumen mahkamah AS kemudian menunjukkan AS$700 juta daripada pembayaran 1MDB dilencong ke sebuah syarikat kosong berdaftar di Seychelles, yang didakwa dikawal Jho Low.

Menurut pemfailan mahkamah AS, wang itu disalurkan ke akaun bank peribadi Datuk Seri Najib Razak, dan RM42 juta lagi dimasukkan ke akaun bank itu, yang dikaitkan dengan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

Najib bagaimanapun menafikan sebarang salah laku.

Kedudukan Jho Low tidak diketahui, tetapi peguamnya hari ini berkata, beliau akan membantu siasatan SPRM.

SPRM turut mencari Nik Faisal Ariff Kamil, bekas pengarah urusan SRC International untuk membantu siasatan mereka.

Jho Low akan bantu SPRM siasat 1MDB

Laporan: Justo dakwa jumpa Jho Low 2 kali bincang 1MDB