Kertas cadangan wujud semula Majlis Profesor Negara dihantar

Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah pendekatan baru yang lebih sesuai bagi meneruskan program MPN. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Satu kertas cadangan akan dikemukakan kepada Majlis Penasihat Kerajaan bagi mewujudkan kembali Majlis Profesor Negara (MPN).

Bekas Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa MPN Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah pendekatan baru yang lebih sesuai bagi meneruskan program MPN.

“Kita sudah beri pandangan. Kita cadangkan untuk teruskan MPN. Jadi kita kena hantar kertas cadangan, nanti pihak majlis (Majlis Penasihat Kerajaan) akan pertimbangkan,” katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat bersama hari ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet pertama pada 23 Mei lalu mengumumkan pembubaran beberapa agensi termasuk MPN yang ditubuhkan kerajaan terdahulu.

Sementara itu, Prof Datuk Dr Raduan Che Rose pula berkata beliau hadir mesyuarat hari ini untuk memberi penjelasan berkaitan peranan MPN dan langkah yang boleh diambil bagi memajukan negara.