Lelaki cuba rampas pesawat Malaysia Airlines dipenjara 12 tahun di Australia

Mahkamah turut terdengar Manodh Marks mengambil dadah jenis syabu dalam perjalanan ke lapangan terbang.

PETALING JAYA: Sebuah mahkamah di Australia hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas seorang warga Sri Lanka yang cuba merampas sebuah pesawat Malaysia Airlines tahun lalu dengan menggunakan muslihat bom.

Manodh Marks yang menghidap psikosis akibat ubat ketika kejadian itu, sebelum ini mengaku bersalah cuba merampas sebuah pesawat.

Dia dilaporkan cuba memasuki kokpit pesawat MH128 yang dalam penerbangan dari Melbourne ke Kuala Lumpur pada 31 Mei 2017.

ABC News melaporkan pemuda berusia 26 tahun itu ialah orang pertama di Australia yang dijatuhkan hukuman kerana cuba merampas sebuah pesawat, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Laporan itu memetik Hakim Mahkamah Daerah Melbourne, Michael McInerney sebagai berkata, Marks meluru ke pintu kokpit dan mendakwa berkata beliau mempunyai sebutir bom serta “mahu memusnahkan pesawat itu”.

“Penumpang dan kru tentu bukan saja bimbang, tetapi yakin anda memang memiliki sebutir bom.”

Menurut laporan itu, mahkamah turut terdengar Marks mengambil dadah jenis syabu yang juga dikenali sebagai “ice”, dalam perjalanan ke lapangan terbang.

Seorang pakar perubatan yang membuat penilaian ke atas Marks dalam keterangannya berkata, tertuduh “terdengar jeritan, fikir pesawat akan terhempas dan dia perlu berbuat sesuatu”.

Marks pada awalnya didakwa dengan pelbagai pertuduhan, termasuk membahayakan keselamatan sebuah pesawat, bagaimanapun pendakwa raya kemudiannya menggugurkan beberapa pertuduhan itu.

Penumpang penerbangan itu dilaporkan berkata, mereka bimbang dengan nyawa sendiri apabila melihat tertuduh meluru ke kokpit sambil menjerit mahu “meletupkan pesawat itu”. Bagaimanapun, bom yang dimiliki Marks itu hanyalah sebuah speaker.

Kru dan penumpang kemudiannya berjaya menahan dan mengikatnya sebelum pesawat itu membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Melbourne.

Polis Australia berkata, Marks baru dibebaskan daripada rawatan gangguan mental beberapa jam sebelum menaiki pesawat itu.

‘Saya mahu letupkan pesawat ini!’ jerit lelaki dalam penerbangan Malaysia Airlines